- Advertisement -
 |
Respons pantas Perdana Menteri yang berjanji untuk mengambil tindakan segera menambahkan lagi keterujaan di kalangan masyarakat. (Tangkap layar video TikTok) |
KUALA LUMPUR – Tindakan berani dan spontan seorang kanak-kanak mengadu mengenai tandas sekolahnya yang rosak terus kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, ketika lawatan beliau ke sebuah bazar Ramadan baru-baru ini, mencuri perhatian orang ramai.
Dalam kejadian yang berlaku di Bazar Ramadan Kamunting, Perak, kanak-kanak tersebut tanpa ragu-ragu menyuarakan isu tandas rosak di Sekolah Kebangsaan Long Jaafar. Respons pantas Perdana Menteri yang berjanji untuk mengambil tindakan segera menambahkan lagi keterujaan di kalangan masyarakat.
“Dua rosak, dua boleh pakai? Sekolah Kebangsaan Long Jaafar? Pasal saya kena call (hubungi) Fadhlina (Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek) kejap lagi,” ujar Anwar dalam video yang tular di media sosial.
Tindakan proaktif Perdana Menteri itu mendapat perhatian Menteri Pendidikan sendiri, yang turut meninggalkan komen di hantaran pengguna @norsahida89 yang memuat naik video berkenaan.
“Okey PMX, dengar nama saya diseru!,” kata Fadhlina secara berseloroh, memberi bayangan bahawa isu tersebut akan diberi perhatian segera.
Sikap berani kanak-kanak itu menerima pujian meluas daripada netizen yang kagum dengan tindakannya menyuarakan masalah sekolah secara terus kepada pemimpin tertinggi negara.
“Hebat dik, mengadu tandas sekolah rosak kat PMX terus!,” kata seorang pengguna media sosial.
“Level kau lain dik. Orang lapor dekat cikgu kelas, kau lapor dekat PM terus!,” komen @KinHaris.
“Tersedak pengetua Sekolah Kebangsaan Long Jaafar,” seloroh @Amaludin.
Iklan