KUALA LUMPUR – Susulan permintaan tinggi terhadap lada Malaysia di pasaran dunia, nilai eksport komoditi tersebut melonjak sebanyak 24 peratus kepada RM186.67 juta bagi tahun 2024, berbanding RM149.97 juta pada tahun sebelumnya.
Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Chan Foong Hin berkata, permintaan yang berterusan terhadap lada Malaysia didorong oleh kualiti produk, khususnya kandungan racun makhluk perosak yang rendah serta aroma tersendiri yang menjadi pilihan negara seperti Jepun, Korea, China dan beberapa negara Eropah.
“Kebolehupayaan Lada Malaysia bersaing di pasaran dunia bukan hanya terletak pada kuantiti pengeluaran, tetapi lebih penting lagi, pada kualiti dan penghasilan nilai tambah kepada lada dan produk lada,” katanya ketika menyempurnakan Program Lawatan Kerja Industri Agrikomoditi Lada di Rumah Thomas, Nanga Sekedang, Entabai, Julau hari ini.
Sehubungan itu, beliau menyeru Lembaga Lada Malaysia (MPB) agar terus memperkukuhkan jaringan kerjasama dengan penggiat industri lada dalam usaha membawa sektor ini ke tahap yang lebih tinggi dan mampan.
Menurut Chan, MPB telah melaksanakan pelbagai inisiatif pembangunan menerusi program outreach yang memberi fokus kepada peluasan kawasan tanaman dan penyelenggaraan tanaman lada matang sepanjang pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-12 (2021-2025).
“Melalui pendekatan ini, MPB berharap pekebun dapat meningkatkan kemahiran dan pengetahuan dalam mengusahakan tanaman lada secara lebih berkesan,” jelasnya.
Bagi memperkukuh sistem logistik dan akses ke kawasan kebun, dua lagi Projek Jalan Ladang Pekebun Kecil (JLPK) telah diluluskan untuk kawasan Julau pada tahun ini melibatkan Rumah Panjang Sang di Rantau Chire dan Rumah Panjang Guntol di Bekiok, Merurun dengan peruntukan sebanyak RM600,000.
Terdahulu, Chan menyerahkan secara simbolik Projek JLPK Lada Rumah Sang, Nanga Sekedang, Entabai sepanjang 1.5 kilometer yang siap dibina pada Disember 2024 dengan kos berjumlah RM209,540.
Dalam majlis yang sama, beliau turut menyampaikan simbolik bantuan Skim Tanaman Lada Matang bernilai RM280,000 kepada pekebun yang layak, merangkumi baja sebatian, dolomite dan racun pertanian.
Sehingga tahun 2024, seramai 6,980 pekebun lada di kawasan Julau dengan keluasan tanaman 2,138 hektar telah berdaftar di bawah Sistem E-Pekebun MPB.
Dalam perkembangan berkaitan, MPB selaku penganjur program lawatan berkenaan terus komited memberi fokus kepada aspek kemampanan dan peningkatan produktiviti sektor huluan, pertengahan dan hiliran lada melalui pelbagai program komprehensif serta kerjasama strategik dengan pelbagai pihak.