KUALA LUMPUR – Pelakon Zeera Azizi tampil memberikan pandangannya berhubung insiden membabitkan aktres Fasha Sandha dan seorang kru penerbangan baru-baru ini yang tular di media sosial.
Menurut Zeera atau nama penuhnya Nurazeera Azizi, 29, pramugari terbabit mungkin berniat baik ketika memuji Fasha yang menaiki penerbangan kelas ekonomi meskipun bergelar selebriti terkenal. Namun begitu, cara penyampaian dan intonasi suara yang digunakan mungkin telah menimbulkan salah faham.
“Bagi saya, apa yang pramugari itu cakap memang tidak bagus. Tapi kita tak tahu niat dia, mungkin dia nak puji artis naik kelas ekonomi. Mungkin juga cara percakapan dan intonasi digunakan itu membuatkan timbul salah faham seolah-olah dia mahu menyindir,” ujar Zeera ketika ditemui pada tayangan perdana drama terbaharunya, First Wives, di TGV KLCC pada Rabu.
Zeera yang mempunyai hampir 10 tahun pengalaman dalam industri penerbangan turut menjelaskan bahawa kru kabin sebenarnya dilatih untuk bersikap mesra dan menjaga kebajikan penumpang, bukannya menyakitkan hati.
“Kru kabin memang dilatih untuk jadi ‘friendly’, jaga kebajikan dan tidaklah untuk sakitkan hati penumpang. Tapi kadang-kadang niat nak jadi ‘friendly’ tu boleh jadi ‘over friendly’ dan itu pun tak bagus juga. Kita pula bekerja kenalah ikhlas,” katanya lagi.
Sehubungan itu, Zeera menasihati para pramugari agar lebih berhati-hati dalam berkomunikasi dengan penumpang agar tidak menimbulkan kekeliruan atau rasa tidak selesa.
“Nasihat saya, sebelum bercakap sesuatu tu kena fikir dulu sama ada perkataan kita itu akan buat seseorang terasa hati atau sebaliknya,” tambahnya.
Dalam perkembangan lain, Zeera bakal muncul dalam drama bersiri First Wives yang akan mula ditayangkan pada 11 April ini menerusi platform penstriman On Demand, Astro GO dan sooka. Drama lapan episod itu turut menampilkan pelakon Mimi Lana, Melissa Campbell, Malek Mccrone, Charles Robert dan Andy Teh.