Jumaat, 11 Julai 2025
UTAMABELASUNGKAWA"Pak Lah bukan sekadar pemimpin, tapi juga sahabat" – Najib Razak

“Pak Lah bukan sekadar pemimpin, tapi juga sahabat” – Najib Razak

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak meluahkan rasa sedih dan dukacita atas pemergian mantan Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi yang disahkan meninggal dunia hari ini.

Menerusi satu ciapan di laman Facebook rasminya, Najib menyifatkan Allahyarham Tun Abdullah, atau lebih dikenali sebagai Pak Lah, sebagai seorang sahabat, mentor dan pemimpin yang dihormati ramai.

“Secara peribadinya, Pak Lah amat rapat dengan kami sekeluarga. Bagaikan abang dan teman rapat ketika susah dan senang,” tulisnya.

Menurut Najib, Allahyarham sentiasa bersedia untuk membimbing dan memberi nasihat, serta menunjukkan arah dalam menghadapi cabaran politik dan pentadbiran negara. Katanya, kepimpinan Pak Lah berteraskan integriti, akauntabiliti dan kecemerlangan.

Beliau turut mengenang jasa serta prinsip kepimpinan Allahyarham yang turut menjadi inspirasi kepada lahirnya gagasan 1Malaysia: Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan, semasa pentadbirannya dahulu.

“Pak Lah akan sentiasa dikenang dengan sumbangannya kepada agama, bangsa dan negara. Seorang insan yang mulia,” kata Najib.

Dalam ucapan tersebut, Najib turut menyampaikan salam takziah kepada keluarga dan rakan-rakan Allahyarham, serta mengajak orang ramai bersama-sama mendoakan agar segala dosa Allahyarham diampunkan, amalannya diterima dan dikurniakan syurga.

“Malaysia kehilangan seorang pemimpin yang berwibawa. Al-Fatihah,” tambahnya.

Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi merupakan Perdana Menteri kelima Malaysia dan dikenang atas kepimpinan yang sederhana serta komitmen terhadap nilai-nilai Islam Hadhari dan pembaharuan institusi.

Iklan
ARTIKEL BERKAITAN