KUALA LUMPUR — Jenazah Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi, bekas Perdana Menteri Malaysia kelima akan diberi penghormatan terakhir di Masjid Negara esok sebelum disemadikan di Makam Pahlawan, demikian menurut menantu beliau, Khairy Jamaluddin.
Dalam sidang media khas yang diadakan sebentar tadi, Khairy memaklumkan bahawa jenazah akan dibawa ke kediaman Allahyarham di Kuala Lumpur sebelum dibawa ke Masjid Negara pada pagi Selasa untuk urusan penghormatan dan pengebumian.
“Jenazah Tun Abdullah akan dibawa ke Masjid Negara esok pagi dan diletakkan di Dewan Solat Utama bermula jam 11 pagi hingga 1 petang bagi memberi ruang kepada orang awam untuk memberikan penghormatan terakhir,” katanya kepada MYBERITA di sini, hari ini.
Khairy turut menasihatkan agar para pengunjung bukan beragama Islam yang ingin hadir supaya berpakaian sopan dan sesuai bagi memasuki ruang solat utama. Pihak Masjid Negara akan menyediakan jubah bagi mereka yang memerlukannya.
Solat jenazah akan dilaksanakan selepas solat Zohor dan jenazah akan dikebumikan di Makam Pahlawan, bersebelahan Masjid Negara — lokasi persemadian beberapa tokoh negara termasuk Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, dan Tun Abdul Razak Hussein.
“Terima kasih kepada Yang Amat Berhormat Perdana Menteri. Tadi abang ipar saya telahpun berbincang dengan beliau dan Perdana Menteri telah mengesahkan serta memberi kebenaran agar jenazah Tun Abdullah disemadikan di Makam Pahlawan,” jelas Khairy.
Tun Abdullah, yang lebih mesra dikenali sebagai Pak Lah, menerajui negara dari tahun 2003 hingga 2009. Beliau dikenang sebagai pemimpin berhemah, sederhana dan komited terhadap agenda reformasi dalam pentadbiran awam.
Orang ramai yang ingin menghadiri majlis penghormatan terakhir dinasihatkan hadir lebih awal bagi melancarkan perjalanan majlis dan mengelakkan kesesakan.