SUNGAI DUA – Sidang Parlimen Mahasiswa Siri 2, 2024/2025 yang berlangsung di Dewan Persidangan Utama, Universiti Sains Malaysia (USM) hari ini telah meluluskan usul tergempar yang mencadangkan agar pihak universiti mengkaji semula sistem Continuous Student Development (MyCSD) yang digunakan oleh semua pertubuhan pelajar di universiti tersebut.
Usul yang dibentangkan oleh wakil Perkumpulan Mahasiswa/i Negeri Sembilan (PERMANIS), Muhammad Nur Hamizan Mohd Jifral telah menerima sokongan besar daripada ahli-ahli dewan Parlimen Mahasiswa melalui proses undian terbuka.
Dalam pembentangannya, Hamizan menekankan kepentingan menambah baik sistem MyCSD demi memastikan keberkesanan dan kecekapan dalam urus tadbir serta pembangunan kepimpinan pelajar.
Antara perkara utama yang dibangkitkan termasuklah keperluan untuk melancarkan sistem MyCSD atau MySISPA dalam masa terdekat, bagi membolehkan semua persatuan dan entiti pelajar menjalankan penyelidikan serta pembangunan (R&D) dan ujian rintis (pilot test) bagi memperkemas pentadbiran masing-masing.
Usul itu turut mencadangkan supaya sistem MyCSD diselarikan dengan platform pengurusan kampus secara dalam talian agar semua unit pertubuhan pelajar dapat menjalankan program secara lebih tersusun dan bertanggungjawab, dengan pemantauan yang berkesan oleh Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni (BHEPA).
Dalam masa yang sama, Parlimen Mahasiswa mencadangkan penubuhan sebuah jawatankuasa khas yang akan melibatkan wakil mahasiswa serta pegawai pengurusan universiti untuk membincangkan isu-isu berkaitan pelaksanaan MyCSD secara lebih menyeluruh. Usul ini juga menggesa supaya sistem MyCSD diperluaskan ke peringkat pengajian tinggi termasuk kepada pelajar pascasiswazah, sebagai usaha mewujudkan ekosistem pembangunan pelajar yang inklusif dan menyeluruh.
Keempat-empat cadangan tersebut mendapat sokongan kukuh daripada ahli Parlimen Mahasiswa. Undian menunjukkan sebanyak 68 daripada 71 ahli menyokong cadangan pertama, 65 ahli bersetuju dengan cadangan kedua, 69 menyokong cadangan ketiga manakala cadangan keempat mendapat sokongan sebulat suara iaitu 71 daripada 71 ahli.
Speaker kemudiannya mengesahkan usul tersebut sebagai diterima dan akan dibawa ke peringkat pengurusan universiti untuk pertimbangan lanjut. Sidang Parlimen Mahasiswa kali ini dilihat sebagai medan penting untuk mahasiswa menyuarakan pandangan dan mencorak arah tuju dasar pentadbiran pelajar yang lebih efisien dan relevan dengan keperluan semasa.