SEPANG – Pasangan panda gergasi, Fu Wa dan Feng Yi, secara rasmi dihantar pulang ke China dalam satu Majlis Penghantaran penuh simbolik yang berlangsung di Animal Hotel, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), hari ini.
Majlis itu turut dihadiri Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES), Nik Nazmi Nik Ahmad, yang mewakili kerajaan Malaysia dalam menyampaikan penghargaan kepada kerajaan Republik Rakyat China atas hubungan diplomatik erat yang telah terjalin selama ini.
Menurut Nik Nazmi, peminjaman pasangan panda selama 10 tahun melalui Projek Kerjasama Antarabangsa Pemuliharaan Panda Gergasi bukan sahaja menjadi lambang persahabatan antara dua negara, malah membuahkan hasil dari segi pembiakan dan pemuliharaan spesies terancam tersebut.
“Malaysia hari ini mengucapkan selamat tinggal kepada Fu Wa dan Feng Yi yang telah menunjukkan pencapaian membanggakan dalam aspek pembiakan. Kita berharap kerjasama ini dapat diteruskan pada masa akan datang, khususnya dalam pemuliharaan hidupan liar,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan majlis tersebut.
Tambah beliau, hubungan rapat antara Malaysia dan China dalam bidang konservasi bukan sekadar simbolik, malah membuka lebih banyak ruang kerjasama saintifik yang bermanfaat kepada kedua-dua negara.
Fu Wa dan Feng Yi telah menghuni Zoo Negara sejak 2014 menerusi perjanjian konservasi panda gergasi yang dimeterai antara Malaysia dan China. Sepanjang tempoh satu dekad, pasangan ini telah melahirkan tiga ekor anak panda, Nuan Nuan, Yi Yi dan Sheng Yi yang kesemuanya telah dihantar pulang ke China lebih awal.
Majlis penghantaran ini bukan sahaja menandakan tamatnya fasa peminjaman panda gergasi tersebut, tetapi turut mencatatkan detik bersejarah dalam hubungan konservasi Malaysia-China. Ia sekaligus membuka lembaran baharu untuk kolaborasi masa hadapan dalam pemeliharaan biodiversiti global.