Selasa, 8 Julai 2025
UTAMAJENAYAHPasangan suami isteri ditahan bantu siasatan kes dera fizikal

Pasangan suami isteri ditahan bantu siasatan kes dera fizikal

- Advertisement -

ARAU – Polis menahan reman sepasang suami isteri selama enam hari sehingga 25 Jun ini bagi membantu siasatan kes penderaan fizikal melibatkan seorang kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun di sebuah rumah di Taman Desa Saujana, Arau.

Ketua Polis Daerah Arau, Superintendan Ahmad Mohsin Md Rodi berkata, siasatan bermula selepas pihak polis menerima maklumat daripada seorang pegawai pelindung Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Perlis pada jam 10.40 malam Rabu lalu.

Menurutnya, pegawai JKM terbabit ke lokasi selepas menerima aduan awam berhubung dakwaan penderaan terhadap seorang kanak-kanak yang juga anak kandung suspek wanita.

“Kanak-kanak tersebut telah diselamatkan dan ditempatkan di Rumah Kanak-Kanak Arau, Laporan polis telah dibuat untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Tambah beliau, siasatan awal mendapati mangsa tinggal bersama ibu dan bapa kandungnya, serta bersekolah di sebuah Sekolah Jenis Kebangsaan Cina di Kangar.

Penderaan dipercayai telah berlaku secara berterusan sejak dua tahun lalu, manakala insiden terbaru berlaku sekitar jam 12.30 tengah hari Rabu apabila mangsa dipukul dengan sebatang rotan di bahagian belakang badan oleh bapanya kerana dikatakan nakal.

“Mangsa mengalami kecederaan pada bahagian kepala, bibir, dada, rusuk, belakang badan, lengan dan betis yang disyaki akibat objek tumpul dan air panas.

“Pemeriksaan di Hospital Tuanku Fauziah, Kangar turut mengesahkan kecederaan dialami mangsa merupakan kecederaan baharu dan lama,” katanya.

Kanak-kanak tersebut kini ditempatkan di Unit Pediatrik hospital berkenaan untuk rawatan lanjut sebelum diserahkan kepada JKM Negeri Perlis di bawah kuasa pelindung Seksyen 18 Akta Kanak-Kanak 2001.

Iklan
ARTIKEL BERKAITAN