Jumaat, 11 Julai 2025
UTAMANASIONALPBT digesa lebih prihatin terhadap penjaja kecil - Muhyiddin

PBT digesa lebih prihatin terhadap penjaja kecil – Muhyiddin

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Pengerusi Perikatan Nasional, Tan Sri Muhyiddin Yassin, menzahirkan rasa kecewa terhadap insiden seorang penjaja belon yang dipercayai dikasari oleh pihak penguat kuasa seperti yang tular di media sosial baru-baru ini.

Beliau menyatakan, sekiranya kejadian tersebut benar-benar berlaku, ia merupakan satu tindakan yang tidak wajar, lebih-lebih lagi di bulan Ramadan yang mulia ini.

Menurutnya, seorang penjaja kecil tidak seharusnya dilayan dengan kekerasan hanya kerana menjual belon untuk mencari rezeki.

“Setiap kali menjelang musim perayaan, ramai peniaga kecil berusaha menambah pendapatan mereka bagi menampung kos sara hidup yang semakin tinggi. Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) sepatutnya lebih prihatin, peka dan berhemah dalam menangani isu seperti ini,” katanya dalam satu kenyataan media pada Sabtu.

Muhyiddin turut mencadangkan agar PBT mencari jalan untuk memudahkan peniaga kecil berniaga secara sah, termasuk mengeluarkan lesen sementara pada musim perayaan.

Beliau merujuk kepada inisiatif Wilayah Bebas Berniaga yang diperkenalkan semasa pentadbiran Kerajaan Perikatan Nasional bagi membolehkan penjaja kecil beroperasi secara sah di Wilayah Persekutuan, sekali gus meringankan beban mereka yang terjejas akibat pandemik Covid-19.

Beliau berpandangan bahawa konsep yang sama boleh diteruskan oleh kerajaan hari ini untuk membantu rakyat yang bergelut dengan peningkatan kos sara hidup.

“Yang penting ialah sikap prihatin kerajaan dalam membantu rakyat. Jika kerajaan benar-benar peduli, langkah-langkah tertentu boleh diambil bagi memenuhi keperluan rakyat tanpa mereka perlu melanggar undang-undang hanya untuk mencari sesuap nasi,” tegasnya.

Muhyiddin berharap insiden seperti ini tidak akan berulang lagi dan menyeru agar pihak berkuasa lebih bertimbang rasa dalam menangani peniaga kecil yang sekadar mencari rezeki.

Iklan
ARTIKEL BERKAITAN