Sabtu, 19 Julai 2025
UTAMASEMASAPekerja restoran tendang gelandangan cetus kecaman netizen, desak tindakan tegas

Pekerja restoran tendang gelandangan cetus kecaman netizen, desak tindakan tegas

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Tindakan sekumpulan lelaki yang mengasari seorang gelandangan di ibu kota baru-baru ini telah mencetuskan kecaman ramai.

Kejadian yang berlaku di depan sebuah restoran makanan segera ini dirakam dalam satu video berdurasi 38 saat yang kini tular di laman sosial X.

Rakaman tersebut menunjukkan sekumpulan lelaki, yang dipercayai pekerja restoran tersebut, menghampiri seorang gelandangan yang sedang berehat di kaki lima. Dalam video tersebut, seorang daripada lelaki terbabit dilihat menendang gelandangan itu tanpa sebarang provokasi yang jelas.

Tindakan itu mendapat kecaman keras daripada pengguna media sosial yang menganggap perbuatan tersebut sebagai biadab dan tidak berperikemanusiaan. Rata-rata netizen menyatakan rasa marah terhadap tindakan kasar yang ditunjukkan terhadap seorang yang lebih lemah.

Namun, terdapat juga beberapa komen yang memberikan penjelasan berbeza, mendakwa tindakan tersebut disebabkan gelandangan terbabit dilaporkan telah mengotorkan kawasan tersebut dengan membuang air kecil dan besar di sekitar kaki lima restoran.

Seorang pengguna, Khairul, menulis, “Bila orang ramai boikot tempat kerja kau, bukan main menangis. Bila masyarakat bagi peluang, kau sepak orang yang lagi lemah dari kau.”

Pengguna lain, Yungyuno, turut menyuarakan pandangan, “Dia kencing ke, dia berak ke kau tak ada sebab nak terajang orang. Nak halau angkat dia bawa ke tempat lain atau hubungi pihak berkuasa. Bila dah ‘viral’, tak nampak pun tindakan kau ada sebab yang baik.”

Tutu, seorang lagi netizen, berkata, “Kalau dah luar dari kedai, mereka ada hak lagi ke. Kalau betul-betul depan pintu tu fahamlah.”

Tindakan tersebut kini sedang disiasat oleh pihak berkuasa untuk mengenal pasti pelaku dan tindakan lanjut yang akan diambil terhadap mereka. Pihak restoran juga diharap dapat memberikan kenyataan rasmi berhubung insiden tersebut.

Iklan
ARTIKEL BERKAITAN