Sabtu, 19 Julai 2025
UTAMAJENAYAHPelajar kolej vokasional didakwa miliki lawi ayam tanpa kebenaran

Pelajar kolej vokasional didakwa miliki lawi ayam tanpa kebenaran

- Advertisement -

BACHOK – Seorang pelajar kolej vokasional dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan memiliki senjata berbahaya tanpa kebenaran pihak berkuasa di Kampung Repek, Bachok, minggu lalu.

Tertuduh, Mohd. Erry Irwan Rosli, 20, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Zulkifli Abllah.

Mengikut pertuduhan, Mohd. Erry didakwa memiliki sebilah pisau jenis lawi ayam berhulu dan bersarung kayu berwarna coklat tanpa kebenaran pihak berkuasa semasa melalui sekatan jalan raya di Kampung Repek, kira-kira pukul 2 pagi pada 29 Mei lalu.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 6(1) Akta Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Kamarul Hasyime Rosli, manakala tertuduh diwakili peguam Muhammad Zulfaqar Al-Basysyar Saharrudin.

Terdahulu, pihak pendakwaan mencadangkan jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin atas alasan pertuduhan melibatkan senjata berbahaya.

Bagaimanapun, peguam tertuduh merayu agar jaminan direndahkan kerana anak guamnya masih belajar dan tidak mempunyai pendapatan sendiri.

“Tertuduh juga ditanggung oleh bapanya yang bekerja kampung dengan pendapatan hanya RM50 sehari,” katanya.

Selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak, mahkamah membenarkan ikat jamin RM7,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 2 Julai depan sebagai tarikh sebutan semula kes serta serahan dokumen.

Tertuduh membayar jaminan tersebut.

Iklan
ARTIKEL BERKAITAN