Isnin, 21 Julai 2025
UTAMASEMASAPelajar tingkatan lima maut langgar lori simen

Pelajar tingkatan lima maut langgar lori simen

- Advertisement -

KLANG – Perjalanan pulang seorang remaja lelaki selepas menghadiri kursus memandu motosikal bertukar tragedi apabila dia maut dalam satu kemalangan melibatkan sebuah lori simen di Batu 12, Jalan Kapar, di sini semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 4.35 petang itu, mangsa berusia 17 tahun yang juga pelajar Tingkatan Lima Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jeram disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S. Vijaya Rao berkata, siasatan awal mendapati kejadian berlaku apabila sebuah lori simen dari arah Kapar cuba melakukan pusingan U di lokasi terbabit.

“Bagaimanapun, laluan itu sebenarnya hanya membenarkan kenderaan ringan melakukan pusingan U.

Mangsa yang menunggang motosikal dari arah belakang tidak sempat mengelak sebelum melanggar bahagian tepi kanan lori tersebut.

“Akibat pelanggaran itu, mangsa maut di tempat kejadian dan mayatnya telah dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang untuk proses bedah siasat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Vijaya Rao, ketika kejadian, mangsa dipercayai dalam perjalanan pulang ke Jeram selepas mengikuti kursus memandu motosikal.

“Hasil semakan mendapati mangsa memiliki lesen memandu jenis L bagi motosikal dan menunggang secara bersendirian,” jelasnya.

Tambah beliau, ujian saringan air kencing terhadap pemandu lori mendapati individu terbabit negatif dadah.

Pemandu berkenaan turut telah diambil keterangan dan dibebaskan dengan jaminan polis.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Iklan
ARTIKEL BERKAITAN
MYBERITA