Khamis, 17 Julai 2025
UTAMASEMASAPelajar UniSZA lemas dihanyut kepala air

Pelajar UniSZA lemas dihanyut kepala air

- Advertisement -

SETIU – Seorang pelajar Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dikhuatiri lemas selepas dihanyutkan kepala air ketika berkelah bersama enam rakannya di Hutan Lipur Lata Payung, di sini, petang Jumaat.

Mangsa dikenali sebagai Abed Mifzal Azman, 22, dipercayai dihanyutkan arus deras selepas cuba menyelamatkan diri daripada fenomena kepala air yang melanda kawasan tersebut kira-kira jam 5.15 petang.

Ketua Polis Daerah Setiu, Superintenden Mohd Zain Mat Dris berkata, mangsa dipercayai berada di atas batu berhampiran tebing sungai sebelum dihanyutkan arus deras.

“Pihak kami menerima panggilan kecemasan pada jam 5.30 petang dan segera menggerakkan anggota ke lokasi kejadian,” katanya ketika ditemui di lokasi.

Sementara itu, Komander Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Zamri Dollah memaklumkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) dijalankan sejurus pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Setiu tiba pada jam 5.58 petang.

Pasukan turut dibantu oleh Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dari BBP Kuala Berang serta anggota daripada agensi lain termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Sebanyak 26 anggota dan pegawai keseluruhan terlibat dalam operasi tersebut yang masih diteruskan malam ini.

“Keadaan air sangat deras dan keruh dipercayai berpunca daripada kepala air. Kawasan ini juga tiada liputan Rangkaian Radio Integrasi Kerajaan (GIRN) dan hanya bergantung kepada talian telefon,” ujar Zamri.

Iklan
ARTIKEL BERKAITAN