KUALA LUMPUR – Sebuah majlis perkahwinan bertukar kecoh apabila pelamin indah yang tersergam nyaris roboh akibat perbuatan seorang kanak-kanak yang dipercayai bermain di atas pelamin tersebut.
Insiden itu tular di media sosial selepas satu rakaman video memaparkan beberapa individu yang dipercayai ahli keluarga pengantin bertungkus-lumus menahan dan menyelamatkan struktur pelamin daripada rebah sepenuhnya.
Pasangan pengantin yang sedang menikmati hidangan di meja beradab pula dilihat hanya mampu memerhati kejadian tersebut dari jauh, jelas terpinga-pinga dan terkejut dengan situasi yang berlaku secara tiba-tiba.
Susulan video itu, seorang wanita tampil memberikan penjelasan dan mengaku anaknya menjadi punca kejadian tersebut selepas bermain secara tidak terkawal bersama rakan sebaya.
“Anak aku main lari-lari dengan kawan sebaya dia. Memang tak sangka anak aku pergi ke sofa pelamin, dia pergi tolak ke belakang.
“Aku ingat hanya sofa itu sahaja yang jatuh, tapi tak sangka ‘backdrop’ tu sekali roboh,” katanya menerusi satu video penjelasan.
Wanita itu turut mengakui dirinya berasa malu dan geram dengan tindakan anaknya, namun pada masa sama menyifatkan kejadian itu sebagai sesuatu yang agak melucukan.
Bagaimanapun, penjelasan tersebut menerima pelbagai reaksi daripada orang ramai yang rata-ratanya menganggap kenyataan wanita itu tidak sensitif terhadap pasangan pengantin.
“Tak kelakarlah, pengantin geram tau bila jadi begini. Nak datang betulkan satu hal, sebab kasihan pada pengantin. Bertimbang rasalah,” kata seorang pengguna media sosial, Izyan.
“Aku pernah lalui macam mana pelamin runtuh. Boleh mak dia cakap nak buat macam mana, budak-budak. Kalau dia bayarkan pelamin majlis kahwin kita tak apa juga,” ujar Tika pula.
Ada juga yang mempersoalkan tindakan wanita itu yang menutup ruangan komen pada video penjelasannya, dipercayai bagi mengelakkan kecaman lebih lanjut daripada netizen.
“Kalau jadi dekat majlis aku, auto hilang mood terus,” tulis Tasha secara ringkas.
Setakat ini, tiada maklumat lanjut sama ada pihak penganjur atau pengantin akan mengambil tindakan susulan terhadap insiden tersebut.