Ahad, 20 Julai 2025
UTAMASEMASAPeluang Pang Ron-Su Yin bangkit di Kejohanan Badminton Asia

Peluang Pang Ron-Su Yin bangkit di Kejohanan Badminton Asia

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Beregu campuran negara, Hoo Pang Ron-Cheng Su Yin, bakal membuat penampilan sulung bersama dalam Kejohanan Badminton Asia (BAC) di Ningbo, China, dari 8 hingga 13 April ini, yang dianggap peluang terbaik untuk mereka mendapatkan semula keyakinan.

Walaupun Pang Ron pernah beraksi dalam kejohanan ini bersama Cheah Yee See di Filipina tiga tahun lalu, kali ini dia dan Su Yin tidak diberikan sasaran tinggi oleh barisan kejurulatihan.

Ketua jurulatih beregu campuran negara, Nova Widianto, berkata beliau enggan memberi tekanan berlebihan kepada pasangan itu kerana bimbang ia menjejaskan prestasi mereka di gelanggang.

“Sebelum ini, kami menetapkan sasaran kepada Pang Ron-Su Yin, tetapi keputusannya tidak menjadi. Jadi, di BAC kali ini, kami tidak akan memberikan tekanan kepada mereka,” kata jurulatih dari Indonesia itu.

Beliau juga mengakui bahawa pasangan beregu No.14 dunia itu masih bergelut untuk menampilkan aksi konsisten dan berharap mereka dapat mempamerkan prestasi lebih baik.

“Tahun ini mereka masih belum mencapai prestasi terbaik, jadi harapan saya adalah mereka boleh menjadi lebih baik dan konsisten. Mudah-mudahan di BAC nanti, mereka dapat mengeluarkan permainan sebenar mereka,” katanya.

Pasangan ini sebelum ini sering tersingkir awal dalam kejohanan yang disertai sejak Januari, dan BAC menjadi platform penting untuk mereka kembali ke prestasi terbaik.

Iklan
ARTIKEL BERKAITAN
MYBERITA