Jumaat, 11 Julai 2025
UTAMAMAHKAMAHPemandu Honda Jazz mengaku tidak bersalah langgar tiga remaja sehingga maut

Pemandu Honda Jazz mengaku tidak bersalah langgar tiga remaja sehingga maut

- Advertisement -

SEREMBAN – Seorang remaja lelaki berusia 17 tahun mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Seremban pada Selasa atas pertuduhan memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian tiga remaja dalam satu kemalangan di Jalan Persiaran Senawang 1, bulan lalu.

Tertuduh membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nurul Azuin Mohd Talhah.

Mengikut pertuduhan pertama, remaja berkenaan didakwa memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian Muhammad Aidil Ramdan Abdullah, 15, Muhammad Aswari Lotpi, 16, dan Aisar Azim Abdullah, 17.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan tidak lebih 10 tahun serta denda antara RM20,000 hingga RM50,000, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, dia turut didakwa memandu tanpa lesen yang sah mengikut Seksyen 26(1) akta sama. Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan denda antara RM300 hingga RM2,000 atau penjara tidak melebihi tiga bulan, atau kedua-duanya sekali.

Timbalan Pendakwa Raya P. Rubini mencadangkan jaminan sebanyak RM8,000 dikenakan ke atas tertuduh, namun peguam yang mewakilinya merayu agar jumlah itu dikurangkan memandangkan anak guamnya masih bersekolah dan bergantung sepenuhnya kepada keluarga.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM4,300 dengan seorang penjamin. Tertuduh juga diarahkan melaporkan diri di balai polis terdekat setiap bulan sehingga kes selesai.

Sebutan semula kes ditetapkan pada 21 Mei ini.

Iklan
ARTIKEL BERKAITAN