Sabtu, 19 Julai 2025
UTAMAJENAYAHPemandu langgar remaja hingga cedera parah bebas pengaruh dadah, alkohol - polis

Pemandu langgar remaja hingga cedera parah bebas pengaruh dadah, alkohol – polis

- Advertisement -
Dalam kejadian yang berlaku pada pukul 9.40 malam itu, mangsa yang menunggang sebuah motosikal kini menerima rawatan di Hospital Pakar Sultanah Fatimah. (Foto media sosial)


MUAR – Seorang remaja lelaki berusia 16 tahun mengalami kecederaan parah pada bahagian kaki selepas terlibat dalam kemalangan melibatkan dua buah kenderaan di Jalan Muar-Batu Pahat, malam tadi.
 
Dalam kejadian yang berlaku pada pukul 9.40 malam itu, mangsa yang menunggang sebuah motosikal kini menerima rawatan di Hospital Pakar Sultanah Fatimah. Kemalangan tersebut turut melibatkan seorang lelaki warga emas berusia 67 tahun yang memandu kereta Toyota Corolla Altis.
 
Terdahulu, tular di media sosial dakwaan mengatakan pemandu kereta terbabit berada dalam keadaan mabuk dan telah melanggar remaja berkenaan dari arah belakang, menyebabkan mangsa tercampak ke bawah kenderaan tersebut. Kejadian itu disedari oleh orang awam sebelum beberapa individu membantu membawa mangsa ke hospital.
 
Difahamkan, pemandu warga emas itu cuba melarikan diri selepas kemalangan dan bersembunyi di sebuah kedai berhampiran. Bagaimanapun, situasi menjadi tegang apabila sekumpulan lelaki menyerbu premis berkenaan dan menahan pemandu terbabit. Keadaan kembali terkawal setelah pihak polis tiba di lokasi dan membawa individu tersebut ke balai polis untuk siasatan lanjut.
 
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan bahawa hasil ujian toksikologi mendapati pemandu berkenaan bebas daripada pengaruh dadah atau alkohol.
 
“Hasil siasatan mendapati kemalangan berlaku apabila pemandu terbabit memberhentikan kenderaannya di bahu jalan sebelum memasuki laluan Jalan Batu Pahat menghala ke Parit Jawa. Pada masa yang sama, motosikal yang ditunggang remaja berkenaan merempuh bahagian kanan kereta tersebut sebelum tercampak.
 
“Akibat perlanggaran itu, kenderaan tersebut hilang kawalan lalu merempuh rumah kedai berhampiran,” katanya.
 
Kes kini disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Iklan
ARTIKEL BERKAITAN