TELUK INTAN – Pemandu lori yang sebelum ini terlibat dalam nahas tragis mengorbankan sembilan anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU), hari ini dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini atas pertuduhan memindahkan dua ekor lembu yang dipercayai dicuri.
Tertuduh, Rudi Zulkarnain Mat Radi, 45, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Naidatul Athirah Azman.
Mengikut pertuduhan, Rudi didakwa telah memindahkan harta curi berupa dua ekor lembu jantan iaitu seekor berwarna hitam baka KK Cros dan seekor lagi berwarna putih baka Brahman. Haiwan tersebut adalah milik seorang lelaki warga emas berusia 66 tahun.
Kejadian itu didakwa berlaku pada 14 April lalu sekitar jam 6 petang di Kampung Kebun Baru, Hutan Melintang, setelah kedua-dua haiwan terbabit dipindahkan dari sebuah kebun di Kampung Keli Sungai, Hutan Melintang.
Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 414 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun, atau denda, atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Izzuddin Fakri Hamdan manakala tertuduh diwakili peguam Mohd. Hafizudin Khan Norkhan.
Mahkamah membenarkan Rudi diikat jamin sebanyak RM3,000 dengan seorang penjamin. Kes akan disebut semula pada 16 Jun depan.
Semalam, media melaporkan bahawa tertuduh yang sebelum ini dibebaskan dengan jaminan RM6,000 oleh Mahkamah Majistret Teluk Intan berhubung kes nahas maut, telah ditahan semula bagi membantu siasatan kes curi lembu berkenaan.
Pada Jumaat lalu, Rudi turut mengaku tidak bersalah di hadapan majistret sama atas sembilan pertuduhan memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian sembilan anggota FRU dalam kemalangan di Kilometer 15, Jalan Sungai Manik, pada 13 Mei lalu.