TELUK INTAN – Seorang pemandu lori yang memandu secara berbahaya hingga mengakibatkan kematian sembilan anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) pada Selasa lalu, dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini.
Tertuduh, Rudi Zulkarnain Mat Radi, 45, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas sembilan pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Norhamizah Shaiffuddin yang bertindak sebagai Majistret.
Mengikut pertuduhan, tertuduh yang masih bujang itu didakwa memandu lori muatan batu secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian S. Perumal, 44; Mohd. Roslan Abdul Rahim, 46; Mohd. Pozli Jaudin, 41; Nurit Pandak, 34; Amiruddin Zabri, 38; Mohamad Hilmi Mohd. Azlan, 38; Muhamad Akmal Muhamad, 35; Damarrulan Abdul Latif, 33 dan Akmal Wafi Annuar, 28.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Kilometer 15, Jalan Sungai Manik, Hilir Perak pada jam 9 pagi, 13 Mei 2025.
Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara minimum lima tahun dan maksimum 10 tahun serta denda antara RM20,000 hingga RM50,000 jika sabit kesalahan.
Tertuduh juga boleh hilang kelayakan memegang dan mendapatkan lesen memandu selama tempoh tidak melebihi lima tahun dari tarikh sabitan.
Timbalan Pendakwa Raya, Izzuddin Fakri Hamdan mencadangkan tertuduh dikenakan jaminan RM10,000 bagi setiap pertuduhan dengan syarat tambahan lesen memandu digantung sehingga kes selesai serta perlu melapor diri di balai polis berhampiran setiap minggu.
Namun, peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Francis Sinnappan merayu agar jumlah jaminan dikurangkan atas alasan anak guamnya hanya berpendapatan RM2,000 sebulan sebagai pemandu lori dan menghidap penyakit asma.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM6,000 bagi semua pertuduhan dengan syarat tambahan seperti dicadangkan pihak pendakwaan.
Kes akan disebut semula pada 17 Jun depan bagi lantikan peguam dan penyerahan dokumen.