Khamis, 17 Julai 2025
UTAMANASIONALPemandu lori muatan batu terbabit nahas miliki enam rekod kesalahan lampau

Pemandu lori muatan batu terbabit nahas miliki enam rekod kesalahan lampau

- Advertisement -

TELUK INTAN – Seorang pemandu lori muatan batu yang terlibat dalam kemalangan mengorbankan sembilan anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) di Jalan Sungai Manik-Sungai Lampam hari ini didapati memiliki enam rekod kesalahan lampau, kebanyakan berkait dengan kes narkotik.

Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin, berkata semakan terhadap suspek yang berusia 45 tahun itu mendapati dia juga memiliki rekod kesalahan lalu lintas di bawah Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

“Ujian saringan air kencing telah dijalankan ke atas suspek dan keputusan menunjukkan bahawa dia negatif daripada sebarang jenis dadah. Pemandu lori tersebut kini telah ditahan untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya dalam sidang akhbar di Unit Forensik Hospital Teluk Intan.

Kemalangan itu berlaku ketika tujuh kenderaan konvoi FRU dalam perjalanan pulang ke Ipoh selepas selesai melaksanakan penugasan sempena perayaan Chitra Pournami di daerah Hilir Perak. Lori muatan batu tersebut merempuh kenderaan yang membawa 18 anggota FRU yang berada pada kedudukan kelima dalam barisan konvoi.

Menurut Noor Hisam, konvoi tersebut terdiri daripada dua pacuan empat roda, empat lori dan sebuah bas. Anggota FRU yang terlibat mengikuti Prosedur Operasi Standard (SOP) FRU yang menetapkan perjalanan tiga hari: satu hari untuk ke lokasi, satu hari bertugas, dan satu hari untuk pulang.

Sembilan anggota FRU yang terlibat dalam kemalangan itu dilaporkan cedera, dengan dua daripada mereka berada dalam keadaan kritikal di zon merah, manakala tujuh lagi berada di zon kuning. Mereka kini sedang menerima rawatan di Unit Kecemasan Hospital Teluk Intan.

Proses bedah siasat terhadap sembilan anggota yang terkorban bermula pada pukul 2.30 petang dan dijangka selesai sekitar 8 malam. Setelah itu, jenazah akan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Hilir Perak untuk solat jenazah sebelum dibawa ke Markas Pasukan Simpanan Persekutuan Unit 5, Sungai Senam, Ipoh, bagi penghormatan terakhir. Semua jenazah akan dihantar ke kampung halaman masing-masing selepas acara penghormatan selesai.

Kes ini sedang dalam siasatan lanjut pihak berkuasa.

Iklan
ARTIKEL BERKAITAN