Sabtu, 19 Julai 2025
UTAMAJENAYAHPemandu rempuh suami isteri terima hukuman penjara 6 bulan ganti 30 hari

Pemandu rempuh suami isteri terima hukuman penjara 6 bulan ganti 30 hari

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi hari ini menjatuhkan hukuman penjara enam bulan terhadap seorang jurujual aksesori kereta selepas disabitkan kesalahan memandu secara melulu sehingga merempuh pasangan suami isteri yang menunggang motosikal, menyebabkan kecederaan parah kepada kedua-duanya.

Hakim K. Muniandy membuat keputusan itu selepas menyemak semula hukuman yang dijatuhkan Mahkamah Majistret sebelum ini, yang hanya mengenakan hukuman penjara 30 hari dan denda RM12,000 terhadap K. Darmaraju, 32.

Walaupun hukuman penjara ditingkatkan, hakim mengekalkan denda RM12,000 yang telah dibayar tertuduh serta penggantungan lesen memandu selama lima tahun bermula dari tarikh tangkapan pada 11 Mei.

Timbalan Pendakwa Raya Mohd Sabri Othman berhujah bahawa hukuman asal tidak setimpal dengan kesan dan penderitaan mangsa, terutama pembonceng motosikal, Suhailiza Shamsudin, 49, yang masih menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) akibat pendarahan di kepala. Penunggang motosikal, Faizal Mat, 53, pula mengalami patah tulang selangka serta luka di pergelangan kaki.

Menurut pihak pendakwaan, tindakan tertuduh yang memandu secara melulu di Lebuhraya Utara-Selatan berhampiran Plaza Tol Duta pada jam 2.30 petang, 10 Mei lalu, termasuk memotong dari lorong kanan dengan laju dan terus meninggalkan tempat kejadian tanpa memberi bantuan kepada mangsa, menunjukkan sikap tidak bertanggungjawab.

Rakaman dashcam berdurasi satu minit yang dikemukakan di mahkamah turut menunjukkan insiden pelanggaran tersebut yang mengakibatkan pasangan mangsa tercampak dari motosikal mereka.

Pendakwa raya menegaskan bahawa hukuman penjara yang lebih berat perlu dijatuhkan sebagai satu bentuk pencegahan dan mesej tegas kepada masyarakat agar tidak mengambil ringan soal keselamatan di jalan raya.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun, denda maksimum RM15,000 dan penggantungan lesen tidak kurang lima tahun.

Iklan
ARTIKEL BERKAITAN