Sabtu, 19 Julai 2025
UTAMAMAHKAMAHPemandu rempuh suami isteri tiba di mahkamah, berdepan tuduhan memandu melulu

Pemandu rempuh suami isteri tiba di mahkamah, berdepan tuduhan memandu melulu

- Advertisement -

KUALA LUMPUR Pemandu kenderaan pacuan empat roda jenis Nissan Navara yang tular selepas merempuh motosikal dinaiki sepasang suami isteri di Lebuhraya Utara-Selatan berhampiran Plaza Tol Duta, tiba di Mahkamah Majistret di sini hari ini untuk menghadapi pertuduhan.

Lelaki berusia 32 tahun itu tiba di perkarangan mahkamah kira-kira pukul 8.30 pagi dengan diiringi beberapa anggota polis. Difahamkan, pertuduhan terhadapnya akan dikemukakan mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 kerana memandu secara melulu dan membahayakan.

Sebelum ini, Kosmo! melaporkan kejadian yang berlaku sekitar pukul 2.30 petang itu mengakibatkan seorang lelaki berusia 53 tahun dan isterinya, 49, cedera parah selepas motosikal jenis Benelli TRK 502 yang dinaiki mereka dirempuh kenderaan suspek.

Mangsa lelaki mengalami retak tulang selangka serta luka di bahagian buku lali, manakala isterinya yang membonceng pula cedera parah termasuk pendarahan di kepala, patah tulang rusuk dan buku lali. Kedua-dua mangsa dikejarkan ke Hospital Sungai Buloh untuk rawatan lanjut.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd. Zamzuri Mohd. Isa berkata, siasatan awal mendapati motosikal mangsa sedang bergerak di lorong kiri sebelum dilanggar Nissan Navara dari arah kanan.

“Kenderaan pacuan empat roda itu dipercayai cuba memotong sebuah lagi motosikal namun gagal mengelak dan terus merempuh motosikal mangsa,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambah beliau, pemandu Nissan Navara berkenaan tidak mengalami sebarang kecederaan dan telah membuat laporan polis sekitar pukul 6.55 petang pada hari kejadian. Suspek turut ditahan reman selama dua hari bagi membantu siasatan.

Terdahulu, rakaman video insiden kemalangan tersebut tular di media sosial selepas dimuat naik oleh akaun ‘DashCam Malaysia’ di Facebook, sekali gus mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan warganet yang rata-ratanya mengecam tindakan pemandu terbabit.

Iklan
ARTIKEL BERKAITAN