TELUK INTAN – Pemandu trak yang membawa anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) dalam kemalangan tragis di Jalan Sungai Lampam di sini hari ini disahkan turut meninggal dunia.
Perkara itu disahkan oleh Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sayani Saidon, ketika dihubungi media sebentar tadi.
“Maklumat terbaru yang diterima mengesahkan pemandu trak turut maut dalam kejadian tersebut, menjadikan jumlah keseluruhan mangsa yang terkorban seramai sembilan orang,” katanya.
Menurut Sayani, kemalangan yang membabitkan dua buah kenderaan itu melibatkan 18 anggota FRU secara keseluruhan.
“Daripada jumlah tersebut, lapan anggota FRU disahkan maut manakala 10 lagi cedera,” jelas beliau.
Pasukan penyelamat termasuk JBPM, polis dan pasukan perubatan masih berada di lokasi kejadian bagi menjalankan operasi menyelamat dan siasatan lanjut.
Maklumat lanjut berhubung punca kejadian serta identiti mangsa akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.