Sabtu, 19 Julai 2025
UTAMAJENAYAHPembantu kedai didenda RM100 kerana aibkan wanita di Tiktok

Pembantu kedai didenda RM100 kerana aibkan wanita di Tiktok

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Padah mengaibkan seorang wanita dengan memaparkan gambar sebelum dan selepas bersolek semasa membuat siaran langsung di TikTok, seorang pembantu kedai didenda maksimum RM100 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

Majistret Farah Nabihah Muhamad Dan menjatuhkan hukuman itu terhadap Nurul Hidayah Yusuf, 23, selepas tertuduh mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan terhadapnya.

Mengikut pertuduhan, Nurul Hidayah didakwa mengaibkan seorang wanita berusia 23 tahun dengan menjadikan gambar mangsa sebagai imej latar belakang ketika membuat siaran langsung di TikTok. Dalam siaran tersebut, tertuduh turut membuat perbandingan wajah mangsa sebelum dan selepas bersolek tanpa kebenaran.

Kesalahan itu dilakukan pada 5 April lalu, kira-kira jam 10.51 pagi di sebuah kondominium di Sentul, dan didakwa mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955, yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM100.

Jika gagal membayar denda berkenaan, tertuduh boleh dipenjara selama dua hari. Bagaimanapun, Nurul Hidayah telah menjelaskan bayaran denda tersebut.

Semasa prosiding, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu agar dikenakan hukuman ringan kerana telah kehilangan pekerjaan akibat kes tersebut.

Timbalan Pendakwa Raya, Amritpreet Kaur Randhawa bagaimanapun memohon agar hukuman setimpal dikenakan sebagai pengajaran kepada tertuduh dan orang awam.

Berdasarkan fakta kes, mangsa menerima rakaman skrin (screen recording) siaran langsung itu menerusi aplikasi WhatsApp daripada seorang rakan. Mangsa yang berasa terhina dengan perbuatan tersebut kemudian tampil membuat laporan polis.

Kes ini menjadi peringatan kepada orang ramai agar tidak menyalahgunakan media sosial sehingga menjejaskan maruah dan privasi individu lain.

Iklan
ARTIKEL BERKAITAN