Jumaat, 11 Julai 2025
UTAMAJENAYAHPempengaruh mengaku salah ceroboh rumah Zarina Anjoulie

Pempengaruh mengaku salah ceroboh rumah Zarina Anjoulie

- Advertisement -

SEREMBAN — Seorang pempengaruh media sosial mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menceroboh rumah pelakon terkenal, Zarina Anjoulie Lavocah Mohd Fahizul, atau lebih dikenali sebagai Anju, pada 7 Mei lalu.

Tertuduh, Nurul Nur Ariani Muhammad Zahari, 41, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mohamad Kamil Nizam.

Mengikut pertuduhan, Nurul Nur Ariani didakwa melakukan pencerobohan jenayah dengan memasuki rumah Zarina Anjoulie di Kampung Chelet, Nilai pada jam kira-kira 5 petang, 7 Mei 2025.

Perbuatan itu merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 447 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga enam bulan atau denda maksimum RM3,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Nadia Ezzati Mohd Zainal, mencadangkan jumlah jaminan sebanyak RM8,000 dan memohon tarikh baharu bagi pembentangan fakta kes serta hukuman.

Bagaimanapun, peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), K Gejalaxmi, merayu agar jaminan direndahkan dengan alasan anak guamnya bekerja sendiri dengan pendapatan tidak tetap, selain menanggung empat anak, seorang adik serta bapa yang sedang sakit di hospital.

Selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak, mahkamah membenarkan jaminan sebanyak RM2,500 dengan seorang penjamin, dan menetapkan 19 Jun 2025 untuk sebutan semula kes serta pembentangan fakta dan hukuman.

Zarina Anjoulie sebelum ini dikenali menerusi beberapa drama tempatan dan sering menjadi tumpuan di media sosial kerana pandangannya yang lantang terhadap isu semasa.

Iklan
ARTIKEL BERKAITAN