Ahad, 20 Julai 2025
UTAMANASIONALPemuda UMNO Bukit Gelugor gesa PDRM siasat gerakan sebar ideologi komunis

Pemuda UMNO Bukit Gelugor gesa PDRM siasat gerakan sebar ideologi komunis

- Advertisement -

BUKIT GELUGOR – Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Bukit Gelugor hari ini tampil membuat laporan polis berhubung sebuah klip video tular yang dikatakan wujud gerakan mempromosikan ajaran dan amalan komunis di Malaysia.

Dalam klip video berdurasi dua minit 54 saat itu, dikatakan terdapat sebuah pertubuhan tidak berdaftar dan dipercayai mempromosikan unsur-unsur yang boleh menjejaskan keselamatan negara.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Bukit Gelugor, Ahmad Wafi Sahedan, menegaskan bahawa tindakan pihak yang tidak bertanggungjawab dalam menyebarkan ideologi berkenaan boleh menjejaskan keselamatan dan ketenteraman awam, sekali gus menggugat asas kenegaraan Malaysia yang berteraskan Rukun Negara.

“Melalui laporan ini, kami menggesa pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menyiasat perkara ini memandangkan amalan komunis tidak boleh diterima oleh rakyat Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Beliau turut menegaskan bahawa pihaknya akan terus mempertahankan kedaulatan negara daripada sebarang ancaman dan anasir luar.

“Kami tidak akan berkompromi dengan sebarang cubaan untuk menggugat keamanan negara ini. Semoga Allah SWT terus memberkati dan merahmati negara tercinta ini,” tambahnya.

Sebelum ini, bekas Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Rais Yatim turut membuat laporan polis dan menggesa pihak berkuasa agar menyiasat perkara berkenaan.

Iklan
ARTIKEL BERKAITAN
MYBERITA