Sabtu, 19 Julai 2025
UTAMASEMASAPenang FC catat kemenangan penting, tundukkan Negeri Sembilan FC 2-0

Penang FC catat kemenangan penting, tundukkan Negeri Sembilan FC 2-0

- Advertisement -

SEREMBAN – Penang FC akhirnya menarik nafas lega apabila berjaya menewaskan Negeri Sembilan FC 2-0 dalam aksi Liga Super 2024 yang berlangsung di Stadium Tuanku Abdul Rahman, malam tadi.

Kemenangan berharga itu bukan sahaja memastikan tiga mata penuh buat skuad Harimau Kumbang, malah mengukuhkan kedudukan mereka dalam carta liga serta memberi suntikan semangat menjelang baki dua perlawanan terakhir musim ini.

Penang FC memulakan permainan dengan penuh keyakinan dan tidak menunggu lama untuk membuka tirai jaringan. Pada minit ke-13, Rahmat Makasuf menyempurnakan peluang dengan satu penyudah kemas bagi meletakkan pasukannya di hadapan, sekali gus memberi kelebihan satu gol sehingga tamat babak pertama.

Negeri Sembilan FC bagaimanapun tidak mudah mengalah dan cuba bangkit pada separuh masa kedua. Namun, disiplin pertahanan yang ditampilkan Penang menyukarkan usaha skuad tuan rumah untuk mencari gol penyamaan.

Ketika perlawanan hampir tamat, Penang FC mengesahkan kemenangan apabila diberikan sepakan penalti selepas penjaga gol Negeri Sembilan melakukan kekasaran ke atas pemain lawan di dalam kotak penalti. Rafael Vitor tidak mensia-siakan peluang itu apabila tenang menyempurnakan sepakan tersebut untuk gol kedua pelawat.

Kejayaan ini turut disambut meriah oleh penyokong pasukan yang meluahkan kegembiraan di media sosial.

“Alhamdulillah tiga mata penuh, terima kasih Penang,” kata penyokong setia, Syahmi Mean.

“Declan Wenzel-Halls pemain paling bekerja keras,” ujar Ridzuan Norma, memuji persembahan pemain import tersebut.

Sementara itu, Muhammad Nabil berharap momentum kemenangan ini dapat diteruskan.

“Alhamdulillah dan syukur, teruskan momentum berbaki lagi dua game liga,” katanya ringkas.

Penang FC kini bersedia untuk menghadapi baki perlawanan musim ini dengan keyakinan baharu dan harapan untuk menamatkan saingan dengan keputusan terbaik.

Iklan
ARTIKEL BERKAITAN