Sabtu, 19 Julai 2025
UTAMAPENDIDIKANPencapaian STAM 2024 meningkat baik

Pencapaian STAM 2024 meningkat baik

- Advertisement -

PUTRAJAYA – Keputusan peperiksaan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) tahun 2024 menunjukkan peningkatan prestasi apabila Gred Purata Kebangsaan (GPK) mencatat 3.00 mata berbanding 3.09 pada tahun sebelumnya.

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam satu kenyataan memaklumkan, pencapaian calon dari sekolah-sekolah di bawah KPM turut menunjukkan peningkatan apabila GPK mengecil kepada 2.81 berbanding 2.91 pada 2023.

“Hal ini menunjukkan pencapaian calon STAM sekolah KPM pada tahun 2024 adalah lebih baik berbanding tahun sebelumnya,” menurut kenyataan itu.

Menurut KPM, seramai 34 calon berjaya meraih keputusan Mumtaz dalam semua mata pelajaran yang diambil, membuktikan prestasi cemerlang sebahagian calon tahun ini.

Untuk STAM 2024, seramai 4,507 calon telah mendaftar menduduki peperiksaan tersebut.

Daripada jumlah itu, 1,552 adalah calon sekolah KPM, 1,726 calon Sekolah Menengah Agama Negeri, 296 calon Sekolah Menengah Agama Rakyat, 29 calon dari Sekolah Menengah Swasta dan 904 calon persendirian.

Peperiksaan STAM 2024 telah dijalankan di 132 pusat peperiksaan seluruh negara pada 3, 6, 10, 12 dan 13 Februari lalu.

KPM turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat secara langsung atau tidak dalam menjayakan penganjuran dan pelaksanaan STAM 2024.

Iklan
ARTIKEL BERKAITAN