Jumaat, 11 Julai 2025
UTAMANASIONALPenganjur program LGBT akan dipanggil beri keterangan

Penganjur program LGBT akan dipanggil beri keterangan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Penganjur sebuah program berkaitan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) yang didakwa dianjurkan oleh sayap pemuda sebuah parti politik di daerah ini bakal dipanggil polis bagi memberi keterangan dalam masa terdekat.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, tindakan itu diambil susulan 188 laporan polis yang diterima daripada pelbagai pihak di seluruh negara sejak isu berkenaan tular minggu lalu.

“Setakat ini, polis sudah menerima 188 laporan berkaitan isu berkenaan. Kita akan panggil penganjur untuk sesi temuduga bagi membantu siasatan,” katanya ketika dihubungi.

Sebelum ini, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan memaklumkan siasatan dijalankan selepas pihaknya mengesan satu hantaran di media sosial berhubung perancangan program terbabit yang dipercayai akan diadakan pada 21 Jun ini di sekitar Petaling Jaya.

Program berkenaan didakwa mencetuskan sensitiviti masyarakat dan bertentangan dengan undang-undang negara yang tidak mengiktiraf sebarang bentuk amalan LGBT.

Kes disiasat oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), JSJ Bukit Aman mengikut Seksyen 298A Kanun Keseksaan kerana menyebabkan suasana tidak harmoni, perpecahan atau permusuhan atas alasan agama, serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana penyalahgunaan kemudahan rangkaian.

Polis turut menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu proses siasatan.

Iklan
ARTIKEL BERKAITAN