Selasa, 8 Julai 2025
UTAMAJENAYAHPengawal keselamatan didenda RM3,000 pukul orang awam

Pengawal keselamatan didenda RM3,000 pukul orang awam

- Advertisement -

AMPANG – Seorang pengawal keselamatan dijatuhi hukuman denda RM3,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan merusuh dan mencederakan seorang lelaki pada malam sambutan Aidilfitri lalu.

Majistret Amalina Basirah Md Top menjatuhkan hukuman tersebut ke atas tertuduh, Mohd Zulfika Abdul Rahman, 33, selepas dia membuat pengakuan bersalah sebaik pertuduhan dibacakan.

Mengikut pertuduhan, Mohd Zulfika bersama lapan lagi individu yang masih bebas, didakwa sebagai ahli kumpulan yang menyalahi undang-undang dan terlibat dalam serangan terhadap seorang peniaga berusia 38 tahun di sebuah rumah di Taman Seri Keramat pada jam 11.30 malam, 30 Mac lalu.

Kesalahan itu dilakukan di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun, denda, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Norhidayah Abdullah Sani memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh dan orang awam.

“Insiden ini berlaku pada malam Aidilfitri, malam yang sepatutnya membawa kegembiraan kepada semua. Mangsa telah dicekik dan dipukul secara sengaja.

Pengakuan salah bukan tiket untuk mendapat hukuman ringan,” katanya.

Namun, peguam tertuduh, Wan Nur Afifah Che Bakar merayu agar anak guamnya hanya dikenakan denda minimum memandangkan dia menanggung dua anak termasuk seorang yang menghidap autisme.

“Tertuduh hanya berpendapatan RM1,800 sebulan dan benar-benar insaf dengan perbuatannya.

Dia juga memberikan kerjasama penuh sepanjang siasatan,” ujar beliau.

Dalam kes berasingan, seorang lagi lelaki, Muhammad Haziq Hezri, 23, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan merusuh di tempat dan masa yang sama.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM3,000 bersama syarat tambahan iaitu tidak mendekati mangsa sepanjang tempoh perbicaraan.

Sebutan semula kes ditetapkan pada 16 Mei depan.

Sebelum ini, pada 31 Mac, polis menahan enam lelaki berusia 20 hingga 40 tahun yang disyaki terbabit dalam pergaduhan antara dua kumpulan di Medan Seri Keramat.

Dua daripada mereka memiliki rekod jenayah lampau berkaitan dadah dan jenayah.

Iklan
ARTIKEL BERKAITAN