Sabtu, 19 Julai 2025
UTAMASEMASAPeniaga lama Pasar Kamunting didakwa teraniaya, kuota baru mengancam rezeki

Peniaga lama Pasar Kamunting didakwa teraniaya, kuota baru mengancam rezeki

- Advertisement -

IPOH – Sekumpulan peniaga yang telah lama berniaga di sebuah pasar di Perak meluahkan rasa terkilan dan bimbang dengan pengurusan baru yang didakwa meminta semua peniaga termasuk yang sudah berpuluh tahun berniaga untuk mengisi semula borang dan menghadiri temuduga pada bulan Julai ini untuk mendapatkan tapak.

Peniaga-peniaga ini berpendapat bahawa langkah tersebut seolah-olah menafikan sejarah mereka dan menggambarkan seolah-olah mereka baru sahaja memulakan perniagaan di pasar yang telah menjadi sumber rezeki mereka sejak bertahun-tahun lalu.

“Kami telah lama berniaga di sini, banyak yang sudah lebih dari 20 tahun, malah ada yang mencecah 30 tahun. Kami bukan orang baru. Pasar ini adalah tempat kami mencari nafkah sejak sebelum pengurusan baru mengambil alih, dan kini kami dikehendaki mengisi borang dan menghadiri temuduga, seolah-olah kami tidak layak untuk terus berniaga di sini,” kata seorang wakil peniaga yang ingin dikenali sebagai Firdaus.

Menurut peniaga lain, isu yang lebih membimbangkan ialah pengurusan baru yang mencadangkan kuota 50 peratus untuk peniaga Melayu dan 50 peratus untuk peniaga daripada bangsa lain.

Dengan lebih 80 peratus peniaga yang sudah lama berniaga adalah orang Melayu, mereka merasakan bahawa cadangan ini akan menyebabkan ramai peniaga lama terpaksa keluar dan tidak dapat meneruskan perniagaan mereka.

Selain itu, permohonan kini terbuka kepada peniaga luar, dan bukan hanya terhad kepada peniaga yang telah lama bertapak di pasar tersebut.

“Ramai di antara kami yang sudah susah, ada tanggungjawab untuk keluarga dan hutang yang perlu diselesaikan. Kami bukan orang kaya, hanya berniaga untuk meneruskan kehidupan. Kami ada yang sakit, tua, tetapi kami teruskan berniaga demi sesuap nasi. Namun sekarang, kami bimbang nasib kami di sini terancam,” kata seorang peniaga lain.

Selain masalah pemilihan peniaga, isu bekalan elektrik juga turut menambah kesulitan. Sejak selepas Raya, peniaga-peniaga di pasar ini menghadapi masalah kekurangan bekalan elektrik, dengan tiada elektrik pada waktu pagi dan petang.

Menurut sumber, bekalan elektrik dijangka kembali pulih pada bulan Ogos, namun buat masa ini, peniaga terpaksa membawa lampu bateri sendiri untuk menjalankan perniagaan.

“Saya terpaksa berniaga walaupun dalam keadaan begini, kerana kami ada tanggungjawab. Kami mesti mencari nafkah untuk keluarga. Ada yang sudah tua, tetapi tetap berusaha,” katanya.

Peniaga-peniaga ini juga mengadu tentang pengurusan pasar yang tidak tetap dalam soal kutipan duit tapak, yang kadangkala dikutip dengan cara kasar dan tanpa sistem yang jelas. Walaupun mereka cuba untuk bertanya mengenai nasib mereka, jawapan yang diterima seringkali hanya “tawakal”, menjadikan mereka berasa terpinggir dan tidak diberi perhatian.

Wakil peniaga, Firdaus, menjelaskan bahawa mereka bukanlah mahu menjadi perkauman, tetapi mereka hanya mahu keadilan dan keutamaan diberikan kepada mereka yang telah bertahan lama di pasar tersebut.

Mereka berharap agar pihak pengurusan baru dapat memberikan ruang kepada peniaga lama untuk terus berniaga dan tidak menyingkirkan mereka demi memberi tempat kepada peniaga baru.

“Kami bukan minta banyak, hanya minta hak kami untuk terus berniaga di sini. Kami sudah banyak berkorban dan bekerja keras, janganlah diabaikan begitu sahaja. Semua peniaga, tidak kira Melayu, Cina atau India, patut diberi peluang yang sama,” katanya.

Peniaga-peniaga ini berharap agar pihak berwajib dapat menimbang semula keputusan yang diambil dan memberi peluang kepada mereka untuk meneruskan kehidupan dengan cara yang lebih adil.

Iklan
ARTIKEL BERKAITAN