SEREMBAN – Isu penderaan kanak-kanak di Malaysia menunjukkan peningkatan yang membimbangkan sejak tahun 2024, dengan statistik terkini daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) mendedahkan sebanyak 2,240 kes direkodkan sehingga Ogos tahun lalu.
Daripada jumlah tersebut, penderaan seksual mencatat angka tertinggi iaitu 1,260 kes, diikuti penderaan fizikal, 897 kes dan penderaan emosi sebanayak 83 kes.
Lebih mengejutkan, insiden penderaan bukan sahaja berlaku dalam lingkungan keluarga tetapi turut melibatkan tempat jagaan seperti pusat asuhan, sekali gus menimbulkan persoalan terhadap tahap keselamatan persekitaran yang sepatutnya melindungi kanak-kanak.
Sebagai usaha menangani isu ini, Kelab Prime Mover Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Negeri Sembilan Kampus Seremban tampil melaksanakan jelajah kempen “Start Awareness From Early (SAFE) for Children” bermula Mei 2025.

Program sulung telah berlangsung di Sekolah Kebangsaan Seremban 2A, melibatkan seramai 250 murid berumur 7 hingga 8 tahun.
Menurut Pengarah Program, Nur Fazreen Mohd Khairi, kempen SAFE menekankan kepentingan membina kesedaran awal agar kanak-kanak mampu mengenali hak diri mereka dan mempunyai keberanian untuk melaporkan sebarang bentuk penderaan.
“Kanak-kanak perlu tahu bahawa mereka berhak untuk dilindungi. SAFE menjadi platform awal untuk menyemai pengetahuan dan keyakinan dalam diri mereka,” katanya.
Penasihat Kelab Prime Mover, Khairolizwan Harry pula menyifatkan kesedaran sebagai langkah utama dalam mencegah jenayah penderaan. Beliau menyeru lebih banyak program berfokus kepada pendidikan awal pencegahan dilaksanakan di seluruh negara.
Selari dengan inisiatif masyarakat, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) turut memperkukuh usaha melalui pelbagai strategi termasuk Program Advokasi Perlindungan Kanak-Kanak: Kasih Kanak-Kanak yang menyasarkan kanak-kanak, ibu bapa, guru serta masyarakat umum.
KPWKM juga mengaktifkan Talian Kasih 15999 yang beroperasi 24 jam untuk laporan penderaan dan khidmat sokongan serta Pasukan Pelindungan Kanak-Kanak di peringkat komuniti. Kerjasama dengan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Pendidikan dan badan bukan kerajaan (NGO) turut dipertingkat bagi memastikan pendekatan menyeluruh dalam perlindungan kanak-kanak.
Selain itu, kementerian juga memberi tumpuan terhadap punca penderaan yang berkait dengan tekanan kewangan, konflik rumah tangga dan kecuaian ibu bapa. Penubuhan Jabatan Pembangunan Kanak-Kanak turut menjadi antara langkah ke arah menyediakan perkhidmatan sokongan yang lebih menyeluruh untuk mangsa dan keluarga terjejas.
Pakar psikologi menyatakan bahawa trauma akibat penderaan boleh memberi kesan jangka panjang kepada perkembangan mental, prestasi akademik dan hubungan sosial kanak-kanak. Justeru, pendekatan seperti SAFE yang menjurus kepada pendidikan dan ketahanan diri kanak-kanak amat penting bagi membina persekitaran yang lebih selamat.
Isu penderaan kanak-kanak bukan tanggungjawab individu semata-mata, sebaliknya memerlukan tindakan bersepadu daripada masyarakat, kerajaan serta institusi pendidikan. Dengan penglibatan aktif pelbagai pihak, diharap masa depan kanak-kanak Malaysia akan terus terlindung dan terjamin.