- Advertisement -
 |
Ketua Pegawai Operasi PLUS, Datuk Ir. Zakaria Ahmad Zabidi berkata, peningkatan trafik ini mewakili kenaikan sebanyak 20 peratus berbanding hari biasa. (Foto MYBERITA) |
KUALA LUMPUR – PLUS Malaysia Berhad (PLUS) menjangkakan peningkatan jumlah kenderaan di lebuh raya sehingga 2.2 juta sehari menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri, dengan lonjakan trafik dijangka berlaku antara 27 hingga 29 Mac serta 4 hingga 6 April hadapan.
Ketua Pegawai Operasi PLUS, Datuk Ir. Zakaria Ahmad Zabidi berkata, peningkatan trafik ini mewakili kenaikan sebanyak 20 peratus berbanding hari biasa, dan pihaknya telah bersiap sedia dengan pelbagai langkah bagi memastikan perjalanan pengguna lebih lancar dan selesa.
Menurut beliau, lebih 5,000 petugas ekosistem PLUS akan bertugas sepanjang musim perayaan, termasuk 1,471 kakitangan di plaza tol serta 60 petugas di Pusat Pemantauan Trafik PLUS dan Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) yang akan menyelaras bantuan sekiranya berlaku insiden.
Selain itu, 413 anggota rondaan PLUSRonda dan LPT2Ronda akan bersiap sedia di lebuh raya, sementara 3,570 kakitangan penyelenggaraan ditugaskan di hentian rehat dan rawat (R&R), hentian sebelah serta plaza tol. PLUS turut menempatkan 319 anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan 50 anggota Pasukan Bantuan Kecemasan (ERT) di beberapa lokasi bagi memastikan perjalanan lebih lancar.
Dalam pada itu, pengguna lebuh raya disaran merancang perjalanan lebih awal dengan menggunakan jadual perjalanan digital MyPLUS-TTA yang boleh diakses menerusi aplikasi PLUS. Zakaria menjelaskan bahawa inisiatif ini bukan sahaja membantu mengagihkan trafik secara lebih efisien, malah dapat mengelakkan kesesakan di sesuatu lokasi pada waktu yang sama.
“Dengan kerjasama dan perancangan yang rapi, kami berharap perjalanan pengguna lebuh raya sempena musim perayaan ini akan lebih lancar dan selamat,” katanya pada sidang akhbar di sini semalam.
Iklan