Sabtu, 19 Julai 2025
UTAMANASIONALPenjawat awam diminta pertahan konsep Kota Madani

Penjawat awam diminta pertahan konsep Kota Madani

- Advertisement -

PUTRAJAYA – Penjawat awam diminta memahami dan mempertahankan pelaksanaan konsep Kota Madani yang diperkenalkan kerajaan baru-baru ini bagi menyediakan kemudahan 10,000 unit kuarters kediaman kepada golongan itu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, konsep tersebut yang akan dilaksanakan secara berfasa oleh Perbadanan Putrajaya dan Putrajaya Holdings tidak akan membebankan kerajaan secara langsung, malah mampu memberi manfaat besar kepada penjawat awam khususnya golongan muda.

“Entah dia (pihak tidak setuju) mewakili kontraktor lain atau yang lain-lain. Tapi saya tidak faham mengapa dia tidak boleh dukung, lebih-lebih lagi apabila pelaksanaannya diurus sendiri tanpa membebankan kerajaan.

“Jadi, saya harap rakan-rakan kalau mahu kita beri penjelasan, biar mereka datang jelaskan. Kalau perlu jabatan-jabatan beri penjelasan kerana ramai juga yang lebih muda sedang menunggu peluang menyewa atau menduduki rumah,” katanya semasa berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan Jabatan Perdana Menteri, di sini hari ini.

Anwar berkata, pelancaran Kota Madani yang dilihat mampu memperbaiki sistem perumahan penjawat awam turut menjadi sasaran kritikan pihak tidak bertanggungjawab yang cuba menjadikannya isu politik.

Beliau turut memaklumkan, lebih 98 peratus unit kuarters yang rosak sebelum ini telah diperbaiki dan diduduki, namun jumlah itu masih belum mencukupi kerana ribuan penjawat awam masih menanti kemudahan perumahan yang selesa.

“Untuk keperluan tahun mendatang, puluhan ribu rumah diperlukan. Maka sebab itu kita usul pembangunan Kota Madani,” katanya.

Menurut beliau, projek berkenaan akan menyaksikan pembinaan 3,000 unit rumah pada fasa pertama dan seterusnya 10,000 unit keseluruhan pada fasa kedua bagi menampung keperluan semasa dan akan datang.

“Ia bukan sahaja rumah biasa, tetapi rumah dengan keselesaan luar biasa. Sekolah, masjid, gimnasium dan kawasan hijau turut disediakan.

“Ini merupakan sebuah kota moden berkonsepkan Madani, di mana semua keperluan berada dalam 10 hingga 15 minit perjalanan. Inilah kota dengan konsep baharu,” katanya lagi.

Kerajaan sebelum ini melancarkan inisiatif Kota Madani sebagai sebahagian usaha memperkasa kesejahteraan penjawat awam dan memperkukuh kemudahan bandar pintar di Putrajaya.

Iklan
ARTIKEL BERKAITAN