CHUKAI – Seorang pensyarah sebuah institut kemahiran dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kemaman pada Khamis atas lapan pertuduhan melakukan hubungan seks menggunakan objek dan persetubuhan luar tabii terhadap dua pelajarnya tahun lalu.
Tertuduh, Ahmad Syahir Sharifudeen, 38, mengaku tidak bersalah dan meminta untuk dibicarakan ketika semua pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Wan Suhaila Mohd.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan lima kesalahan hubungan seks menggunakan objek serta tiga kes persetubuhan luar tabii terhadap dua mangsa perempuan berusia 19 tahun.
Kesalahan itu didakwa berlaku di tempat letak kereta Mesra Mall di Kemasik serta Hotel Awana Kijal antara 17 November hingga 1 Disember tahun lalu.
Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 377CA Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.
Manakala bagi pertuduhan persetubuhan luar tabii, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun serta sebatan.
Timbalan Pendakwa Raya, Noor Asyikin Hashim, menawarkan jaminan RM15,000 bagi setiap pertuduhan.
Bagaimanapun, peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Nurul Farhana Shamsudin, merayu agar jumlah jaminan dikurangkan atas alasan tertuduh telah dipindahkan serta-merta ke Putrajaya dan tidak lagi mempunyai akses kepada mangsa.
Hakim kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM23,000 dengan syarat melapor diri di balai polis setiap bulan.
Mahkamah menetapkan 30 April untuk sebutan semula kes.
Sementara itu, di Mahkamah Majistret Kemaman, Ahmad Syahir turut dihadapkan atas tiga pertuduhan menggunakan kekerasan jenayah dengan niat mencabul kehormatan kedua-dua mangsa di tempat letak kereta Mesra Mall dalam tempoh yang sama.
Dia juga menghadapi satu pertuduhan tambahan kerana memiliki bahan lucah berupa dua alat permainan seks di ruang lobi institut kemahiran pada 13 Mac lalu.
Bagi kesalahan mencabul, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun, denda, atau sebatan, jika sabit kesalahan.
Pertuduhan memiliki bahan lucah pula dikemukakan mengikut Seksyen 292 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Majistret Sharifah Amirda Shasha Amir Sharifuddin membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 30 April sebagai tarikh sebutan semula kes.