SHAH ALAM – Seorang pensyarah perubatan Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof. Datin Dr. Hapizah Md. Nawawi, 65, didenda RM20,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas enam pertuduhan bersubahat membuat tuntutan palsu berkaitan gaji pembantu penyelidikan, empat tahun lalu.
Hakim Datuk Mohd. Nasir Nordin menjatuhkan hukuman itu selepas Hapizah menukar pengakuan kepada bersalah terhadap semua pertuduhan pilihan tersebut.
Mahkamah turut memerintahkan hukuman penjara 21 bulan sekiranya denda gagal dibayar, namun tertuduh telah melunaskannya.
Dalam prosiding sama, mahkamah turut mengambil kira 12 lagi pertuduhan pilihan di bawah pertimbangan (TIC) mengikut Seksyen 171A Kanun Tatacara Jenayah.
Mengikut pertuduhan, Hapizah didakwa bersubahat dengan seorang wanita berusia 29 tahun menggunakan dokumen palsu berkaitan tuntutan gaji pembantu penyelidikan bagi kerja penyelidikan bertajuk Mechanism of Drone-Assisted Technology on Efficiency of Mass Disaster Victim Identification (DVI) bagi tempoh April hingga September 2021.
Jumlah keseluruhan tuntutan mencecah RM14,000.
Kesemua perbuatan itu dilakukan di Institut Patologi, Perubatan Makmal dan Forensik, UiTM Kampus Sungai Buloh antara 13 April hingga 11 Oktober 2021.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 471 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 465 kanun yang sama, yang memperuntukkan hukuman penjara hingga dua tahun, denda atau kedua-duanya sekali.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Muaz Ahmad Khairuddin, manakala tertuduh diwakili peguam Shamsul Sulaiman.
Sebelum ini, pada 31 Julai tahun lalu, media melaporkan Hapizah mengaku tidak bersalah atas 18 pertuduhan bersubahat memperdaya empat pegawai Bendahari UiTM dengan pertuduhan dibuat di bawah Seksyen 28(1)(c) dan Seksyen 18 Akta SPRM 2009.