JOHOR BAHRU – Penyanyi dangdut era 1980-an, Zaleha Hamid, 65, menghembuskan nafas terakhir di Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini, jam 8.30 malam tadi akibat jangkitan kuman pada paru-paru.
Berita duka itu disahkan suaminya, Ungku Sulaiman Ungku Aziz, yang memaklumkan Allahyarhamah telah dirawat di hospital sejak seminggu lalu.
“Arwah sudah seminggu dimasukkan ke hospital. Awal pagi tadi keadaan arwah masih okay, tetapi mula sesak nafas sebelah petang.
“Keadaannya mula nazak dan arwah menghembuskan nafas terakhir malam ini. Saya sempat mengajarnya mengucap,” katanya ketika dihubungi pemberita.
Zaleha yang popular dengan lagu Dangdut Reggae, pernah menjadi antara penyanyi dangdut wanita terkenal tanah air pada era kemuncaknya.
Menurut Ungku Sulaiman, jenazah isterinya kini masih berada di unit forensik hospital dan urusan pengebumian belum diputuskan.
“Kami belum putuskan sama ada nak bawa pulang jenazah ke kediaman kami atau rumah ibu saya,” ujarnya lagi.
Tambahnya, awal bulan ini keadaan kesihatan Zaleha kembali merosot selepas mengalami kekejangan akibat kandungan kalsium berlebihan dalam otak, satu keadaan yang sama seperti selepas serangan angin ahmar pada 2019.
Allahyarham meninggalkan suami dan seorang anak hasil perkahwinan terdahulu.
Peminat dan rakan artis mula membanjiri media sosial dengan ucapan takziah serta mengenang jasa Zaleha dalam dunia seni tanah air.