Sabtu, 19 Julai 2025
UTAMAEKONOMIPerak tak lulus kandang babi baru dibuka di kawasan orang Islam

Perak tak lulus kandang babi baru dibuka di kawasan orang Islam

- Advertisement -

IPOH – Kerajaan Negeri Perak menegaskan bahawa tiada sebarang kelulusan diberikan bagi pembukaan ladang babi baharu di kawasan yang dikenal pasti sebagai majoriti penduduk Islam, sekali gus menafikan dakwaan kononnya wujudnya pembukaan ladang secara berleluasa.

Exco Sumber Manusia, Kesihatan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi Nasional, A Sivanesan berkata, kebanyakan ladang yang beroperasi ketika ini adalah warisan daripada aktiviti penternakan yang telah wujud sejak beberapa dekad lalu, dan terletak di atas tanah persendirian sebelum garis panduan serta dasar penternakan moden dikuatkuasakan.

“Sebagai pengerusi Jawatankuasa Penstrukturan Semula Ladang-Ladang Khinzir di Perak, saya dengan kerjasama erat daripada Jabatan Veterinar, Jabatan Kesihatan, Majlis Daerah, Pejabat Tanah Daerah dan rakan strategik lain telah bertindak secara agresif,” katanya ketika menggulung perbahasan titah diraja dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak.

Menurut Sivanesan, hasil usaha penstrukturan semula dan penguatkuasaan undang-undang, jumlah ladang babi di Perak telah berkurangan dengan ketara — daripada 115 buah pada hujung tahun 2022 kepada hanya 85 buah setakat ini.

“Sebanyak 30 ladang khinzir telah ditutup sepenuhnya dan tidak lagi dibenarkan beroperasi, tanpa kompromi, hasil penguatkuasaan, wabak penyakit, isu pemilikan serta penggunaan tanah,” katanya.

Beliau turut menyangkal dakwaan bahawa terdapat ladang ternakan babi haram yang berleluasa di negeri itu, dengan menjelaskan bahawa semua 85 ladang yang beroperasi pada masa ini mempunyai lesen sah yang dikeluarkan oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV).

Sebagai langkah penambahbaikan jangka panjang, Sivanesan berkata kerajaan negeri sedang giat melaksanakan proses pemutihan dan penstrukturan semula ladang babi melalui kerjasama JPV dan pihak berkuasa tempatan, termasuk di daerah Batang Padang yang merangkumi kawasan DUN Ayer Kuning.

“Langkah ini melibatkan pengesahan status lesen, penetapan semula lokasi mengikut zon yang dibenarkan, serta pematuhan kepada konsep Modern Pig Farm,” katanya.

Terdahulu, Naib Presiden PAS, Idris Ahmad mendakwa bahawa terdapat sekurang-kurangnya 30 ladang babi berlesen di dua daerah di Perak, dan menyatakan jumlah tersebut mungkin lebih tinggi sekiranya ladang tidak berlesen diambil kira.

Kenyataan itu bagaimanapun disangkal oleh pihak kerajaan negeri.

Iklan
ARTIKEL BERKAITAN