- Advertisement -
 |
Ahli Parlimen Shah Alam, Azli Yusof, menegaskan bahawa Shah Alam sebagai sebuah bandar raya perindustrian terus menyumbang kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara. (Foto Aqilah Nadhirah) |
SHAH ALAM – Institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) memainkan peranan penting dalam memastikan tenaga kerja berkemahiran tinggi yang diperlukan oleh industri dapat dipenuhi, sejajar dengan perkembangan sektor perindustrian negara.
Ahli Parlimen Shah Alam, Azli Yusof, menegaskan bahawa Shah Alam sebagai sebuah bandar raya perindustrian terus menyumbang kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara.
Justeru, graduan dalam bidang teknologi dan vokasional amat diperlukan bagi menyokong hala tuju negara ke arah pertumbuhan ekonomi yang tinggi dan berpendapatan tinggi.
“Negara kini memasuki era industri baharu seperti tenaga boleh diperbaharui, kenderaan elektrik, aeroangkasa, dan kecerdasan buatan, selain sektor tradisional seperti semikonduktor dan pembuatan. Oleh itu, institusi seperti Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PSA) memainkan peranan penting dalam melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi,” katanya selepas merasmikan Forum Kerjaya PSA – GITC 2025 yang berlangsung di Anjung Bestari PSA pada Khamis.
Menurutnya, kerajaan sedang giat berusaha untuk membuka lebih banyak peluang kepada lepasan sekolah agar mereka dapat menyertai bidang TVET, sekali gus mengisi keperluan industri yang berkembang pesat.
Dalam ucapannya di hadapan 120 peserta forum, beliau turut menekankan kepentingan kerjasama erat antara institusi pendidikan dan industri bagi mengurangkan jurang antara dunia akademik dan keperluan pasaran kerja.
Forum Kerjaya PSA – GITC 2025, yang dianjurkan oleh Government Industry TVET Coordination Body (GITC) dengan kerjasama PSA, bertujuan menyediakan platform interaksi antara industri dan pelajar. Program ini memberi pendedahan mengenai permintaan industri serta khidmat nasihat daripada panel berpengalaman.
Antara pengisian utama program termasuk Forum: Trend Industri dan Keperluan Kemahiran yang menampilkan panel seperti Ketua Pegawai Operasi Gagasan Sentral Sdn. Bhd., Amir Ayub; Pengurus Pemasaran Meranti Marshal Sdn. Bhd., Datuk Mohd Emry Mohd Yusof; serta Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sakata Sdn. Bhd., Norhasima Che Hassan.
Dua alumni PSA turut diundang untuk berkongsi pengalaman mereka dalam industri, iaitu Pengurus Kesihatan, Keselamatan dan Persekitaran Boustead Petroleum Marketing Sdn. Bhd., Ts. Nor Atikah Mohd Ghazali, dan Ketua Pegawai Kawal Selia GDEX Berhad, Marmizahsalwa Ahmad Tarmizi.
Turut hadir dalam majlis ini ialah Ketua Pegawai Eksekutif GITC, Jamil Bakri, serta Pengarah PSA, Zainah Rujihan.
Dengan usaha berterusan dalam memperkukuhkan TVET, diharapkan lebih ramai tenaga kerja berkemahiran tinggi dapat dilahirkan bagi memenuhi permintaan industri yang semakin kompleks dan berteknologi tinggi.
Iklan