Jumaat, 11 Julai 2025
UTAMASEMASAPerhilitan Negeri Sembilan nafi video harimau kumbang di Bukit Tangga

Perhilitan Negeri Sembilan nafi video harimau kumbang di Bukit Tangga

- Advertisement -

SEREMBAN — Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Negeri Sembilan menafikan dakwaan kemunculan semula harimau kumbang di Bukit Tangga seperti yang tersebar menerusi sebuah video tular baru-baru ini.

Pengarahnya, Faizal Izham Pikri berkata, siasatan awal mendapati video tersebut tidak merujuk kepada lokasi sebenar kejadian serangan harimau kumbang yang berlaku pada Khamis lalu.

“Pagi tadi (semalam), pegawai dari Unit Konservasi Harimau Malaya (UKHM), Perhilitan Negeri Sembilan telah membuat pemantauan di lokasi berkenaan dan mendapati tiada sebarang penampakan harimau kumbang. Malah, kawasan dalam video tular itu disyaki bukan di lokasi serangan tempoh hari.

“Hasil pemantauan juga mendapati lokasi dalam video tersebut adalah berbeza dan tidak berkaitan dengan kejadian di Bukit Tangga,” katanya ketika dihubungi.

Beliau turut menasihatkan orang ramai agar tidak menyebarkan sebarang maklumat atau rakaman yang belum dipastikan kesahihannya kerana boleh menimbulkan panik dalam kalangan masyarakat.

Menurut Faizal, semakan awal mendapati video yang tular itu sebenarnya dirakam pada tahun 2021 dan dipercayai berlaku di Sarawak.

Untuk rekod, pada Khamis lalu, seorang pemandu lori berusia dalam lingkungan 50-an cedera parah di bahagian kepala selepas diserang seekor harimau kumbang di Jalan Bukit Tangga–Seremban. Mangsa kini dirawat di Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ), Seremban.

Iklan
ARTIKEL BERKAITAN