Sabtu, 19 Julai 2025
UTAMAHIBURANPernikahan Marissa Dania, Ahmad Aslam disahkan mahkamah hari ini

Pernikahan Marissa Dania, Ahmad Aslam disahkan mahkamah hari ini

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Pernikahan pasangan pempengaruh sensasi, Marissa Dania Hakim, 20, dan Ahmad Aslam Kasyfun Nazir Rashid, 26, yang berlangsung di Songkhla, Thailand pada 27 Disember 2023, dijangka mendapat pengesahan rasmi di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan hari ini.

Peguam syarie mewakili pasangan itu, Muhammad Ammar Yaser Ahmad Nazri memaklumkan bahawa pengesahan pernikahan berkenaan bergantung kepada keputusan prosiding siasatan di pihak Marissa yang dijadualkan berlangsung pagi ini.

“Kalau hakim berpuas hati dengan prosiding hari ini, insya-Allah tengahari nanti semuanya dapat diselesaikan. Dalam sebutan lepas, hakim minta peguam sediakan hujah. Itu isyarat hakim sebenarnya sudah bersedia beri keputusan,” katanya ketika ditemui sekitar jam 11 pagi tadi.

Beliau turut menambah bahawa sekiranya dokumen dan bukti yang dikemukakan adalah lengkap dan sah, mahkamah boleh mengeluarkan perintah dan memfailkan pengesahan pernikahan tersebut.

Bagaimanapun, kelibat pasangan terbabit masih belum kelihatan di mahkamah ketika laporan ini ditulis, walaupun sesi prosiding dijadualkan berlangsung sebelum tengah hari.

Untuk rekod, pada 5 Mei lalu, Marissa dan Aslam telah hadir ke mahkamah sama bagi prosiding siasatan di pihak suami, namun proses tersebut tergendala akibat kesilapan pengisian borang.

Pasangan itu menjadi perhatian umum apabila perkahwinan mereka yang berlangsung dua tahun lalu di Thailand terbongkar selepas ibu Marissa, pelakon Abby Abadi, mendedahkan perkara tersebut di media sosial. Ketika itu, isteri pertama Aslam, Umisya Mazlan, sedang mengerjakan ibadah umrah.

Umisya sebelum ini mendakwa Marissa sebagai punca keretakan rumah tangganya sehingga membawa kepada penceraian pada September tahun lalu. Namun, pasangan tersebut kembali rujuk dalam tempoh idah.

Ahmad Aslam dan Umisya mendirikan rumah tangga pada Julai 2020 dan dikurniakan tiga cahaya mata, Hud, 4, Nuh, 3, dan seorang bayi perempuan berusia tiga bulan.

Iklan
ARTIKEL BERKAITAN