Jumaat, 11 Julai 2025
UTAMASEMASAPerodua Axia remuk, dua beranak cedera nahas kemalangan enam kenderaan

Perodua Axia remuk, dua beranak cedera nahas kemalangan enam kenderaan

- Advertisement -

NIBONG TEBAL – Seorang wanita bersama anak perempuannya yang berusia lima tahun dilaporkan cedera ringan selepas kenderaan yang mereka naiki terbabit dalam kemalangan melibatkan enam buah kenderaan di Kilometer 160 Lebuhraya Utara-Selatan, arah utara, berhampiran Jawi, di sini, tengah hari tadi.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung insiden berkenaan pada pukul 12.38 tengah hari.

Menurutnya, operasi menyelamat digerakkan melibatkan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Nibong Tebal yang diketuai oleh Komander Operasi, Ahmad Zaki Sabri.

“Kemalangan membabitkan enam buah kenderaan, namun tiga daripadanya telah beredar dari lokasi sebelum pasukan penyelamat tiba.

“Secara keseluruhan, terdapat sembilan mangsa terlibat dan hanya dua individu mengalami kecederaan ringan iaitu seorang wanita berusia 30-an serta anak perempuannya yang menaiki kereta jenis Perodua Axia,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Tambahnya, kedua-dua mangsa yang cedera telah dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut manakala pemandu dan penumpang dari kenderaan lain seperti Honda City dan Mazda tidak mengalami sebarang kecederaan.

Beliau berkata, pemeriksaan lanjut mendapati lokasi kejadian berada dalam keadaan selamat dan kes diserahkan kepada pihak polis untuk siasatan lanjut.

Terdahulu, pihak PLUS melalui aplikasi X memaklumkan kemalangan itu menyebabkan kesesakan trafik sejauh 11 kilometer di laluan terbabit.

Orang ramai dinasihatkan agar mematuhi arahan pihak berkuasa dan merancang perjalanan dengan lebih awal bagi mengelakkan kesesakan.

Iklan
ARTIKEL BERKAITAN