Isnin, 21 Julai 2025
UTAMASEMASAPesawat AirAsia alami kebakaran enjin, 171 penumpang selamat mendarat

Pesawat AirAsia alami kebakaran enjin, 171 penumpang selamat mendarat

- Advertisement -

SEPANG – Sebuah pesawat AirAsia jenis Airbus A320 yang dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Shenzhen terpaksa berpatah balik dan melakukan pendaratan kecemasan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) selepas mengalami kebakaran enjin, lewat malam tadi.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai insiden itu sekitar pukul 10.37 malam.

“Seramai sembilan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) KLIA bersama sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) telah dikejarkan ke lokasi dan tiba pada pukul 10.45 malam,” katanya.

Menurut beliau, pesawat yang membawa 171 penumpang dan anak kapal itu mengalami kebakaran pada bahagian enjin kanan akibat kerosakan Pneumatic Ducting Burst. Bagaimanapun, api berjaya dipadamkan oleh sistem Halon pesawat sebelum ia mendarat.

Pesawat berkenaan berjaya melakukan pendaratan selamat di landasan 3 KLIA2 pada pukul 12:08 tengah malam tanpa sebarang kecederaan dilaporkan.

Ahmad Mukhlis turut memaklumkan bahawa pihaknya telah memastikan tiada lagi punca kebakaran sebelum membantu proses pemindahan penumpang dengan selamat.

Sementara itu, Pasukan Airport Fire and Rescue Service (AFRS) KLIA turut memberikan bantuan dengan menempatkan tiga anggota serta satu jentera FRT di lokasi kejadian.

“Setakat ini, punca kebakaran disahkan berpunca daripada kegagalan saluran udara pesawat, dan pihak berkuasa penerbangan dijangka melakukan siasatan lanjut,” tambahnya.

Iklan
ARTIKEL BERKAITAN
MYBERITA