ISKANDAR PUTERI – Johor Darul Ta’zim II (JDT II) menutup kempen Piala Liga Bolasepak Malaysia (MFL) 2024/2025 dengan penuh bergaya selepas membelasah Penang FC II (PFC II) 7-0 dalam aksi terakhir di Stadium Sultan Ibrahim, sebentar tadi.
Kemenangan besar itu menyaksikan skuad kendalian Gonzalo Zaballos muncul juara Piala MFL dengan mengumpul 53 mata hanya satu mata mengatasi pencabar terdekat, S elangor FC, yang turut mencatat kemenangan 7-0 ke atas Kedah Darul Aman FC B.
Dalam perlawanan itu, JDT II yang begitu bersemangat memburu trofi terakhir Piala MFL yang tidak lagi dipertandingkan musim depan menurunkan empat tonggak skuad senior iaitu Shane Lowry, Romel Morales, Heberty Fernandes dan Shahrul Saad dalam kesebelasan utama.
Skuad Merah Biru tidak menunggu lama apabila Gabriel Nistelrooy membuka jaringan seawal minit pertama, hasil hantaran lintang Shafizan Arshad. Gol itu juga menyaksikan Nistelrooy menamatkan kempen dengan 23 gol sekali gus dinobat sebagai penjaring terbanyak Piala MFL.
Najmuddin Akmal muncul wira selepas mencetak tiga gol (hatrik) pada minit ke-14, 26 dan 49, manakala Morales turut menjaringkan dua gol dengan satu lagi gol disumbangkan oleh Nistelrooy menerusi sepakan penalti.
Kemenangan besar ini bukan sahaja mengesahkan kejuaraan buat JDT II, malah menjadi penutup sempurna buat edisi terakhir Piala MFL yang bakal dilupuskan musim hadapan.
Keputusan ini turut mencatat sejarah manis buat skuad JDT II yang mempamerkan prestasi konsisten sepanjang musim dengan 24 perlawanan, hanya tewas sekali dan memiliki rekod jaringan paling tinggi dalam saingan.