Khamis, 17 Julai 2025
UTAMAEKONOMIPETRONAS umum kurangkan 5000 tenaga kerja, Anwar sahkan majoriti adalah kontrak

PETRONAS umum kurangkan 5000 tenaga kerja, Anwar sahkan majoriti adalah kontrak

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan bahawa sebahagian besar daripada kira-kira 5,000 kakitangan Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS) yang akan dikurangkan secara berperingkat sepanjang tahun hadapan adalah terdiri daripada pekerja berstatus kontrak.

“Kebanyakannya kontrak,” katanya ringkas ketika diminta mengulas mengenai langkah pengurangan tenaga kerja oleh syarikat minyak dan gas negara itu.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menunaikan solat Jumaat di Surau Al-Ikhwan, Jalan Pinggiran Putra, di sini, hari ini. Terdahulu, Perdana Menteri turut menikmati makan tengah hari bersama orang ramai di sebuah restoran berhampiran surau berkenaan.

Semalam, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PETRONAS, Tan Sri Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz, mengumumkan bahawa keputusan untuk mengurangkan jumlah kakitangan dibuat susulan cabaran operasi yang semakin getir, terutama akibat kejatuhan harga minyak mentah dunia.

Menurut beliau, kira-kira 5,000 pekerja atau 10 peratus daripada jumlah keseluruhan tenaga kerja PETRONAS akan terlibat dalam proses pengurangan tersebut, yang akan dilaksanakan secara berperingkat sepanjang tahun 2025.

Tengku Muhammad Taufik menjelaskan bahawa langkah itu diambil bagi memastikan syarikat kekal berdaya saing dengan struktur operasi yang lebih kecil dan tangkas, meskipun harga minyak mentah mencecah paras tinggi sekitar AS$100 setong (AS$1 = RM4.23).

Tambah beliau, margin keuntungan sebelum cukai syarikat itu sebelum ini berada dalam lingkungan 35 hingga 40 peratus apabila saiz operasi lapangan minyak mengecil.

PETRONAS turut menetapkan anggaran perbelanjaan berdasarkan harga minyak Brent sekitar AS$75 (RM318.41) hingga AS$80 (RM338.20) setong. Namun begitu, harga minyak global kini merosot kepada sekitar AS$65 (RM274.79) setong, susulan ketegangan perdagangan global serta usaha OPEC+ untuk mengawal semula pengeluaran.

Bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2024, PETRONAS melaporkan keuntungan bersih sebanyak RM55.1 bilion, merosot 31.7 peratus berbanding RM80.7 bilion pada tahun sebelumnya, disebabkan oleh harga purata yang lebih rendah dan pelarasan cukai.

Langkah pengurangan tenaga kerja ini dijangka menjadi sebahagian daripada strategi jangka panjang PETRONAS untuk menyesuaikan diri dengan landskap industri tenaga yang semakin mencabar.

Iklan
ARTIKEL BERKAITAN