Selasa, 8 Julai 2025
UTAMAJENAYAHPGA serbu kedai vape haram berhampiran sekolah

PGA serbu kedai vape haram berhampiran sekolah

- Advertisement -

TUMPAT – Sebuah premis yang menjalankan perniagaan rokok elektronik secara haram di hadapan sebuah sekolah di Kampung Kelaboran di sini diserbu Pasukan Gerakan Am (PGA) semalam.

Serbuan kira-kira pukul 1.45 tengah hari itu dilakukan anggota Batalion 9 PGA dengan kerjasama pegawai Majlis Daerah Tumpat (MDT) menerusi Op Taring Wawasan Kelantan.

Komander Briged Tenggara PGA, Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab. Hamid berkata, seorang lelaki berusia 31 tahun yang berada dalam premis berkenaan ketika serbuan gagal mengemukakan sebarang lesen perniagaan sah daripada MDT.

“Hasil pemeriksaan membawa kepada rampasan 1,380 unit barangan termasuk peranti vape, 27 tin dan 63 peket cecair vape serta 529 unit peranti vape lain.

“Keseluruhan nilai rampasan dianggarkan mencecah RM182,000,” katanya.

Tambahnya, semua barangan yang dirampas diserahkan kepada MDT untuk tindakan lanjut mengikut Seksyen 4(5)(c) Undang-Undang Kecil Perlesenan Tred Perniagaan dan Perindustrian MDT 2019.

Sementara itu, kerajaan negeri Kelantan sebelum ini menegaskan bahawa tiada sebarang lesen perniagaan untuk penjualan rokok elektronik atau vape diluluskan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Kelantan, Hilmi Abdullah, berkata penguatkuasaan secara berterusan akan dilaksanakan.

Beliau turut memaklumkan bahawa Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) memperketatkan kawalan terhadap penjualan, pengiklanan dan lokasi penggunaan semua produk berkaitan vape.

Iklan
ARTIKEL BERKAITAN