CHINA – Skuad badminton negara mengesahkan tempat ke suku akhir saingan Piala Sudirman 2025 selepas mencatat kemenangan meyakinkan 4-1 ke atas Australia dalam aksi Kumpulan C yang berlangsung di Gimnasium Fenghuang, sebentar tadi.
Malaysia membuka tirai kemenangan menerusi pasangan beregu campuran, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei yang mudah menewaskan Ricky Tan-Gronya Somerville 21-8, 21-12.
Aksi cemerlang itu diteruskan pemain perseorangan lelaki, Justin Hoh, yang mengambil masa 36 minit untuk menumpaskan Shrey Dhand 21-9, 21-15, sekaligus meletakkan Malaysia selesa di hadapan 2-0.
K. Letshanaa kemudian menghadiahkan mata kemenangan ketiga negara apabila mencatat kemenangan straight set 21-6, 21-8 ke atas Teoh Kai Qi dalam acara perseorangan wanita.
Pasangan beregu lelaki utama negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, tidak berdepan masalah untuk menewaskan Frederick Zhao-Jack Yu 21-8, 21-9 bagi menjadikan kedudukan 4-0.
Bagaimanapun, misi Malaysia untuk mencatat kemenangan bersih tidak kesampaian apabila pasangan beregu wanita, Go Pei Kee-Carmen Ting, tewas 15-21, 18-21 kepada Angela Yu-Somerville.
Malaysia dijadualkan berdepan cabaran sebenar apabila bertemu pilihan ketiga kejohanan, Jepun, pada Khamis ini bagi aksi penentuan juara Kumpulan C.