SUNGAI DUA – Sidang Parlimen Mahasiswa (PM) Universiti Sains Malaysia (USM) Siri 2 bagi Sidang Akademik 2024/2025 yang berlangsung hari ini dimulakan dengan sesi penghormatan kepada mangsa tragedi nahas jalan raya membabitkan pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).
Sesi itu disifatkan sebagai tanda solidariti dan empati mahasiswa USM terhadap insiden yang mengorbankan nyawa rakan seperjuangan dari institusi pengajian tinggi lain.
Pembentangan dan perbahasan usul-usul yang menjurus kepada usaha meningkatkan kebajikan dan kesejahteraan warga kampus antara yang menjadi perhatian hari ini bakal dibahaskan oleh pelbagai pihak.
Antara usul yang dibangkitkan semula daripada sidang sebelum ini ialah cadangan menaik taraf padang terbiar di Desasiswa Jaya Lembaran Utama, Kampus Kejuruteraan kepada padang serbaguna. Usul ini mendapat sokongan pelbagai pihak kerana dilihat mampu menyumbang kepada gaya hidup sihat dan aktiviti komuniti pelajar yang lebih aktif.
Turut diketengahkan ialah cadangan membangkitkan keperluan penyelenggaraan dan penambahbaikan peralatan latihan klinikal bagi menjamin keberkesanan pengajaran dan pembelajaran pelajar pergigian.
Selain itu, usul penyediaan perkhidmatan staf kesihatan secara ‘on-call’ selama 24 jam di Kampus Kejuruteraan yang penting demi menjamin keselamatan dan keperluan kesihatan pelajar di luar waktu operasi biasa.
Dalam perkembangan baharu, sebanyak sembilan usul akan dibentangkan oleh wakil mahasiswa dari pelbagai kampus. Antaranya termasuk cadangan penambahbaikan infrastruktur keselamatan jalan raya dalam kampus dan cadangan usaha memperkasakan hubungan dua hala antara USM-KLE dan institusi berkaitan, dengan tujuan menjamin kebajikan, keselamatan dan pembangunan kerohanian mahasiswa secara holistik.
Antara lain, memperluas akses kepada aplikasi Microsoft 365 seperti Microsoft Word serta penambahbaikan sistem pengurusan pelajar ijazah tinggi yang disifatkan perlu diselaraskan dengan kemudahan digital semasa.
Sidang Parlimen Mahasiswa USM terus menjadi medan utama bagi mahasiswa melontarkan pandangan, mencadangkan penyelesaian dan menyalurkan aspirasi secara rasmi kepada pengurusan universiti.
Platform ini bukan sahaja memperkukuh budaya demokrasi dalam kalangan anak muda, malah mencerminkan kematangan dan kepedulian mahasiswa terhadap pembangunan institusi secara menyeluruh.