SUNGAI DUA – Sidang Parlimen Mahasiswa Universiti Sains Malaysia (USM) hari ini sebulat suara meluluskan usul cadangan pembukaan Program Diploma Pendidikan Lepasan Ijazah (DPLI) di universiti itu, sekali gus menggesa agar Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) memperketat kawal selia terhadap pelaksanaan program DPLI di semua institusi pengajian tinggi (IPT).
Usul berkenaan telah dibentangkan oleh Mohamad Nazrin Mohd Jamil, wakil Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) USM, dalam Sidang Parlimen Mahasiswa Siri 2 bagi Sidang Akademik 2024/2025 yang berlangsung di Dewan Persidangan Utama, Kampus Induk, USM.
Dalam pembentangannya, beliau menyatakan bahawa langkah membuka penawaran program DPLI adalah usaha penting bagi menyokong pembangunan modal insan negara yang berkualiti dalam bidang pendidikan.
“USM sebagai universiti APEX dan antara institusi pengajian awam terbaik di Malaysia perlu melangkah lebih jauh daripada peranan tradisinya dalam penyelidikan dan inovasi, dengan turut memberi fokus terhadap usaha melahirkan tenaga pengajar berkaliber,” katanya.
Katanya, Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan (PPIP) USM sudah terbukti sebagai antara pusat pengajian yang menyumbang besar kepada sektor pendidikan negara.
“Berdasarkan rekod dalaman, lebih 90 peratus graduan PPIP telah berjaya mendapat penempatan sebagai guru di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM). Ini menunjukkan tahap kesiapsiagaan dan kredibiliti graduan pendidikan USM yang tinggi,” jelas Mohamad Nazrin ketika membentangkan usul.
Beliau turut memaklumkan bahawa saban tahun, terdapat antara 100 hingga 300 pelajar dari pelbagai pusat pengajian lain di USM yang memohon untuk menukar jurusan ke bidang pendidikan, sekali gus membuktikan permintaan tinggi dalam kalangan mahasiswa terhadap laluan kerjaya perguruan.
Penawaran DPLI di USM dilihat sebagai penyelesaian strategik, terutamanya bagi memenuhi keperluan pelajar dari zon utara yang berminat menceburi profesion perguruan, selain dapat membantu mengatasi isu kekurangan guru di sekolah-sekolah.
Tambah beliau, pelaksanaan program ini juga selari dengan aspirasi negara untuk memperkukuh sistem pendidikan dan menjamin kelangsungan penghasilan guru berkualiti.
Dalam masa yang sama, usul tersebut turut menekankan kepentingan kawal selia yang lebih ketat terhadap pelaksanaan DPLI di semua IPT.
Ketiadaan satu piawaian kawal selia seragam antara institusi pada masa ini menimbulkan kebimbangan mengenai tahap kualiti graduan yang dihasilkan, sekali gus boleh menjejaskan imej profesionalisme dalam bidang pendidikan negara.
Usul ini mendapat sokongan majoriti ahli dewan dan disifatkan sebagai manifestasi komitmen mahasiswa dalam memperjuangkan akses kepada pendidikan berkualiti serta pembangunan sumber manusia yang holistik.