PETALING JAYA – Polis sedang menyiasat penganjuran satu perlumbaan basikal lajak yang dikatakan bakal berlangsung di Damansara Damai pada Jumaat, 24 Mei ini, selepas satu video promosi mengenainya dikesan di laman sosial TikTok.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shahrulnizam Jaafar berkata, video berdurasi 29 saat itu memaparkan sekumpulan remaja menunggang basikal lajak di jalan raya sambil disertakan maklumat penganjuran perlumbaan berkenaan.
“Susulan itu, polis telah membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 81 Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana mengadakan pertandingan membabitkan kenderaan tanpa kebenaran,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut beliau, usaha sedang dijalankan bagi mengesan penganjur perlumbaan tersebut untuk tindakan lanjut.
Polis juga mengingatkan orang ramai agar tidak terlibat dalam sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang dan sentiasa mengutamakan keselamatan pengguna jalan raya.
“Sebarang maklumat berkaitan boleh disalurkan ke Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya atau balai polis berdekatan,” katanya.
Aktiviti basikal lajak sebelum ini sering mencetuskan kebimbangan awam berikutan risiko keselamatan yang tinggi, terutama kepada penunggang muda dan pengguna jalan raya lain.